Ahmad Zahid menyambut kunjungan Onn Hafiz di pejabatnya di Kajang, semalam.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berpesan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi agar terus bekerja lebih keras untuk menunaikan manifesto Barisan Nasional (BN) demi kesejahteraan rakyat.

Presiden UMNO itu berkata, selepas menang lebih dua pertiga kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan lalu, BN kini sedang dalam proses memulihkan kedudukan kewangan mereka pasca pandemik ini.

“Saya menerima kunjungan Onn Hafiz, cicit pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar di Yayasan Al Falah Country Heights Kajang.

“Kunjungan sangat bermakna ini memberikan peluang kami bertukar fikiran dan melihat situasi terkini politik terutama Johor sebagai pemangkin kebangkitan ekonomi di negara kita.

“Saya juga berpesan dan berharap Onn Hafiz terus bekerja lebih keras untuk  menunaikan manifesto BN demi kesejahteraan rakyat yang sedang dalam proses memulihkan kedudukan kewangan mereka pasca pandemik ini,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, semalam.

Menurut Ahmad Zahid, beliau juga akan turun ke Johor sebaik sahaja pulang dari Tanah Suci Mekah.

Beliau yakin barisan Exco Kerajaan Negeri yang baharu mampu menggalas tanggungjawab untuk membangunkan Johor, katanya. – MalaysiaGazette