Mohd Nassir menunjukkan kawasan bau loji yang tidak pernah selesai hingga memgundang rasa tidak selesa penduduk.

JOHOR BAHRU – Lebih 500 keluarga penduduk Taman Sinaran Kempas di sini, terpaksa menahan bau busuk di dalam rumah mereka sendiri selama 22 tahun akibat kerosakan loji kumbahan di kawasan perumahan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Komuniti Taman Sinaran Kempas, Mohd Nassir Ahmad mendakwa, masalah itu sudah berlanjutan sejak tahun 2000 namun sehingga hari ni masih tidak ditangani.

Katanya, masalah loji kumbahan tidak berfungsi itu terjadi tidak lama selepas penduduk dipindahkan di kawasan terbabit pada tahun 2000.

“Pada mulanya semua penduduk berpakat mengutip duit bagi menyelenggara dan membetulkan sendiri loji kumbahan yang rosak hingga pada tiga tahun pertama.

“Namun loji kumbahan itu kerap rosak sehingga penduduk tidak mahu lagi pihak komuniti meneruskan kutipan wang mereka untuk digunakan bagi menyelenggara loji kumbahan ini.

“Sejak daripada itu setiap rumah akan berbau busuk terutama selepas hujan turun. Bau busuk datang dari tandas dan sistem aliran yang tidak dapat mengalir terus ke loji kerana sistem loji kumbahan yang terhenti dan rosak,” kata kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Taman Sinaran Kempas.

Jelas Mohd Nassir, perumahan ini adalah rumah transit yang dibangunkan atas tanah hak milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) untuk penduduk setinggan tepi rel keretapi yang dipindahkan pada ketika itu bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.

Katanya,  rumah, fasiliti dan kemudahan yang dibangunkan diserahkan kepada komuniti penduduk sebaik sahaja penduduk pindah.

“Jadi penyelenggaraan loji kumbahan ini tidak berada di bawah tangungjawab badan atau mana-mana pihak.

“Namun kami penduduk tidak mempunyai dana yang besar untuk membetulkan dan menyelenggara loji kumbanan itu yang memerlukan kos besar.

“Sekarang loji tersebut langsung tidak berfungsi, bukan itu sahaja malah kawasan loji kumbahan itu juga sudah ditumbuhi semak,” katanya.

Mohd Nassir berkata, pihaknya telah mengajukan masalah ini kepada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan pusat.

Tetapi disebabkan perubahan pentadbiran kerajaan yang tidak stabil, masalah loji kumbahan itu terbiar sepi tanpa tindakan.

“Semua kemudahan ini termasuk loji kumbahan dilepaskan kepada penduduk semata-mata. Kami sudah membuat aduan dan surat permohonan kepada kerajaan negeri dan juga kementerian berkaitan mengenai masalah ini. Tetapi tiada tindakan lanjut.

“Saya mewakili penduduk memohon sangat jasa baik kerajaan atau mana-mana jabatan yang boleh membantu menyelesaikan masalah kami. Tolonglah ganti mesin di loji terbabit atau lantik kontraktor bagi penyelenggaraan loji kumbahan ini.

 

“Kami penduduk sudah tidak tahan menanggung bau busuk dalam rumah sendiri kerana masalah ini,”tambahnya.

Sementara itu, bakal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz berkata dia telah membuat lawatan ke loji kumbahan terbabit.

Katanya isu ini sudah dibangkitkan penduduk sejak sekian lama, namun tiada penyelesaian.

“Sudah lebih 20 tahun penduduk di sini menunggu supaya masalah ini dapat diselesaikan namun tiada kesudahan.

“Apabila mereka bawa ke agensi kerajaan, belum ada khabar berita dan jalan penyelesaian dari mana-mana yang terlibat. Saya akan berusaha untuk membawa isu ini dengan agensi kerajaan sehingga masalah ini ada jalan penyelesaian,”katanya.-MalaysiaGazette