Rakyat Malaysia Kemboja
Gambar PDRM

PETALING JAYA – Seorang rakyat Malaysia yang diselamatkan daripada satu sindiket di Kemboja menafikan apa yang berlaku merupakan satu “drama lakonan sendiri.”

Mangsa berumur 26 tahun itu berkata, dia dan mangsa lain telah dikurung dalam bilik yang gelap, dipaksa mempelajari taktik penipuan, serta didenda dan dipukul apabila gagal mematuhi arahan.

Katanya, mangsa yang degil juga akan diperdagangkan kepada sindiket berlainan untuk terus melakukan penipuan.

Mangsa itu justeru terkejut apabila terdapat media Kemboja yang melaporkan bahawa apa yang berlaku hanyalah “drama lakonan sendiri” untuk membolehkan rakyat Malaysia berkenaan untuk pulang ke negara asal.

Mengikut laporan dari Kemboja, pihak polis negara itu memberitahu selepas 15 rakyat Malaysia diselamatkan, siasatan mendapati keadaan mereka mencurigakan kerana sindiket haram yang dimaksudkan sebenarnya merupakan syarikat loteri yang sah.

Kebanyakan orang juga menyatakan hasrat untuk terus bekerja d kasino di Kemboja.

Mangsa yang dihubungi Sinchew Daily bagaimanapun berkata, laporan berkenaan tidak benar dan menekankan mangsa tidak pernah mementaskan “drama culik.”

“Saya tidak pernah berkata bahawa saya diculik, tetapi saya telah ditipu ke Kemboja untuk melakukan penipuan ke atas orang lain,” katanya.

Mangsa melihat iklan jawatan kosong di kasino di Kemboja dalam Facebook dan menyerahkan pasport kepada pihak berkenaan untuk tujuan pemprosesan visa selepas diberi taklimat mengenai syarikat dan ganjaran yang ditawarkan kepada pekerja.

Sejurus tiba di Kemboja, mangsa dikuarantin di hotel lima bintang di Phnom Penh tetapi kemudian dibawa ke satu tempat yang dikawal 30 pengawal keselamatan.

Mangsa juga dilaporkan dipaksa untuk mempelajari taktik penipuan dan hanya dibenarkan makan dan rehat serta menggunakan telefon  bimbit mengikut jadual yang ditetapkan.

Kata mangsa, seorang rakan yang mahu meletak jawatan telah dipaksa untuk membayar AS$15,000 dan dipukul. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast