Pasangan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing muncul juara beregu campuran selepas menewaskan pasangan Korea, Ko Sung Hyun-Eom Hye Won 21-15 21-18.

KUALA LUMPUR – Beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mengakhiri kemarau lima tahun tanpa gelaran apabila muncul juara kejohanan badminton Terbuka Korea hari ini.

Lebih manis, pasangan Malaysia itu meraih kejuaraan tersebut selepas menewaskan gandingan tuan rumah Ko Sung Hyun-Eom Hye Won dalam aksi final yang berlangsung selama 50 minit di Stadium Palma, Suncheon.

Merupakan pertemuan kali ketiga buat kedua-dua pasangan itu, Kian Meng-Pei Jing beraksi cemerlang untuk melebarkan rekod dua kemenangan sebelum ini apabila sekali lagi menundukkan pasangan Korea Selatan itu dengan straight set.

Turun selaku wakil negara yang masih meneruskan cabaran pada kejohanan itu, Kian Meng-Pei Jing ternyata unggul apabila sentiasa berada di hadapan sebelum mencatat kemenangan 21-15 di set pertama.

Ketinggalan satu set, Sung Hyun-Hye Won cuba bangkit di set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan, namun usaha mereka gagal apabila pasangan Malaysia itu terus mendominasi perlawanan untuk merekodkan kemenangan 21-18.

Kemenangan tersebut sekali gus menyaksikan Kian Meng-Pei Jing muncul beregu Malaysia pertama meraih gelaran di Terbuka Korea. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast