Banduan lari
Kredit: Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu

SEREMBAN – Polis sedang memburu enam banduan dari Penjara Jelebu yang telah meloloskan diri ketika berada di Mahkamah Jelebu pada pukul 3 petang tadi, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Jelebu DSP Maslan Udin berkata tujuh banduan meloloskan diri dalam kejadian itu, namun seorang daripada mereka Sohaimi Khalid, 50, telah ditangkap semula di kawasan kebun kelapa sawit di Kongkoi kira-kira dua kilometer dari Penjara Jelebu pada pukul 7 malam.

Beliau berkata enam lagi yang masih diburu ialah Mazlan Samah, 39, Mohamad Aminuddin Khan Mohd Yusof, 28, Shazuan Md Sharif, 32, Mohd Zairizan Zainal, 42, Muhammad Syafiq Rohmat, 32, dan seorang lelaki dikenali sebagai Zainuddin.

Dalam kenyataan di sini malam ini beliau berkata bantuan unit anjing pengesan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan (IPKNS) dan Jabatan Penjara turut digerakkan bagi mengesan kesemua banduan berkenaan.

Menurutnya selain siasatan berkaitan tindakan suspek melarikan diri, siasatan juga berkisar kepada kemungkinan berlaku kecuaian sehingga menyebabkan orang tahanan meloloskan diri.

Maslan berkata orang ramai dengan maklumat yang boleh membantu polis dalam memburu mereka yang terlibat diminta menghubungi balai polis berhampiran atau menelefon Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu dengan menelefon 06-6136222 atau Bilik Gerakan IPD Jelebu 06-6137999.

— BERNAMA