JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan sumbangan peribadi kepada dua penyelam yang ditemui selamat selepas hilang di perairan Pulau Tokong Sanggul, Mersing pada Rabu lalu.

Kurniaan diserahkan kepada warga Britain Adrian Peter Chesters dan warga Perancis Alexia Alexandria Molina oleh Pegawai Daerah Mersing, Mohammed Shakib Ali di wad unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang.

Andrian Peter Chesters dan Alexia Alexandra Molina menerima sumbangan peribadi daripada Sultan Ibrahim dan kurniaan disampaikan Pegawai Daerah Mersing ,Mohammed Shakib Ali.

Kedua-dua mangsa menjunjung kasih kepada baginda atas ingatan dan kurniaan serta mengambil berat akan keadaan mereka.

Adrian dan Alexia ditemui di perairan sekitar Pengerang, Kota Tinggi oleh nelayan kira-kira jam 1 pagi semalam.

Adrian turut memberi kenyataan kepada pihak berkuasa bahawa seorang lagi penyelam, anaknya Nathan Renze Chesters, 14 tahun, meninggal dunia selepas tidak dapat bertahan akibat terlalu lemah.

Manakala penyelam keempat, Kristine Grodem dari Norway, ditemui pada Khamis, lebih 20 batu nautika dari lokasi dipercayai hilang.

Sultan Johor sebelum ini telah menitahkan semua aktiviti menyelam di perairan Mersing dihentikan sementara waktu sehingga hasil siasatan kes ini dan kajian semula seluruh SOP keselamatan aktiviti menyelam di Mersing selesai.

Terdahulu media melaporkan empat penyelam warga asing, dipercayai hilang ketika melakukan latihan menyelam di Pulau Tokong Sanggol, Mersing, Johor. – MalaysiaGazette