Nur Hidayah Abdullah menangis sebaik sahaja dilepaskan dari hukuman gantung

MUAR – Seorang wanita  terlepas daripada hukuman gantung sampai mati dalam satu keputusan di Mahkamah Tinggi Muar hari ini atas pertuduhan membunuh suaminya lima tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakimanan, Awang Armadajaya Awang Mahmud membacakan keputusan itu selepas mendapati tertuduh, Nur Hidayah Abdullah, 22 , melakukan perbuatan berkenaan ketika masih di bawah umur iaitu 17 tahun.

Tertuduh ditakrifkan sebagai kanak-kanak mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 dan tidak boleh dijatuhkan hukuman mandatori.

Kemudian mahkamah memerintahkan tertuduh ditahan penjara selama yang diperkenankan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kerana kejadian tersebut berlaku di Johor.

Mengikut pertuduhan, tertuduh boleh merayu kepada Lembaga Pengampunan dan juga kepada Sultan Johor untuk meringanan hukuman atau memendekkan tempoh tahanan.

Selepas mendengar rayuan daripada peguam bela dalam prosiding berkenaan, Awang Armadajaya berkata, kehidupan tertuduh sebelum ini penuh dengan duka dan kesukaran justeru beliau berharap tertuduh menjadi insan yang baik selepas ini.

Sementara itu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azfar Mahmod dan Mustaqim Sukarno manakala tertuduh diwakili peguam Yoong How Kiat.

Mengikut pertuduhan, Nur Hidayah didakwa membunuh suaminya Mohd Firdaus Md Sallehuddin, 28, di sebuah rumah beralamat No 130 A, Jalan Indah 6, Taman Pertama Indah, Sungai Abong, di sini, kira-kira 1.30 petang pada 17 Oktober 2017.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette