Dr Norkhalid (tengah) dan Roszaidah bersama murid-murid anak orang Asli yang menerima set kelengkapan sekolah.

KUALA LUMPUR – Seramai 319 murid orang asli di tiga buah sekolah sekitar Batang Padang, Kuala Kangsar dan Hulu Perak menerima barangan kelengkapan sekolah menerusi program empowerNCER Akademik @Perak.

Selain itu turut menerima bantuan itu ialah murid orang asli dari Sekolah Kebangsaan Batu 14, Sekolah Kebangsaan Batu 7, Sekolah Kebangsaan Sri Kinjang, Sekolah Kebangsaan Pos Legap, Sekolah Kebangsaan Pos Perwor serta Sekolah
Kebangsaan RPS Kemar, Gerik.

Untuk penyerahan pertama, seramai 13 murid Sekolah Menengah Kebangsaan Chenderiang menerima barang kelengkapan yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),
Prof Madya Dr Norkhalid Salimin dan Penolong Pengurus Besar, Bahagian Modal Insan, Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA), Roszaidah Husman bermula hari ini seterus di sekolah-sekolah lain sehingga 14 April ini.

Dr Norkhalid berkata, program itu adalah inisiatif daripada pihak empowerNCER Akademik @Perak bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam membantu murid orang asli dalam persediaan kelengkapan sekolah mereka.

Katanya, penyerahan itu berikutan kebanyakan mereka tidak mampu untuk membeli kelengkapan sendiri, malah segelintir mereka ada yang memakai kasut yang sudah lusuh dan tidak bersusaian dengan saiz kaki mereka sendiri.

Beliau berkata, kelengkapan sekolah yang diserahkan kepada setiap murid di Sekolah Menengah Kebangsaan Chenderiang pagi ini membabitkan satu set lengkap yang terdiri daripada beg sekolah, baju sekolah, seluar sekolah, tudung, kelengkapan menulis dan kasut sekolah.

Menurut Norkhalid, selepas serahan di SMK Chenderiang yang terletak kira-kira 80 kilometer dari UPSI di Tanjung Malim mereka akan bergerak ke sekolah-sekolah lain membabit masa seminggu mengagihkan kelengkapan kepada murid
yang sangat memerlukan. – MalaysiaGazette