Universiti Malaya di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) mengecam kenyataan pro zionis Profesor Sains Politik dari Amerika Syarikat (AS), Dr. Bruce Gilley dan mahu pentadbiran universitinya bertanggungjawab.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan KMUM, ceramah tersebut telah membangkitkan kemarahan orang ramai kerana penceramah itu menjadikan UM sebagai platform menyebarkan dakyah zionis.

“Kecuaian yang disengajakan UM menjemput Bruce yang mempunyai rekod kontroversi lampau tidak boleh dijadikan alasan lagi.

“Pengurusan tertinggi UM perlu bertanggungjawab menjelaskan dan memberi respons terhadap isu sensitif ini dengan kadar segera.

“Kami yakin langkah itu dapat meredakan serta menjawab segala isu dan persepsi yang sedang hangat menjadi perbualan dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan.

KMUM juga turut menuntut pentadbiran tertinggi UM supaya melibatkan KMUM dalam apa-apa program yang dianjurkan di semua peringkat Pusat Tanggungjawab (PTJ) di universiti itu.

“Pelaksanaan apa-apa program perlu mendapat kelulusan dari Presiden atau Jawatankuasa Tertinggi Kabinet KMUM untuk mengelakkan terjadinya lagi kes sensitif yang boleh mengundang kemarahan rakyat Malaysia berulang lagi,” tegasnya.

Berdasarkan kronologi yang diberikan, Institut Pengajian Cina UM telah mengeluarkan jemputan terbuka pada 9 April lalu untuk seminar yang bertajuk Reassessing Republican China.

Jabatan Pengajian Antaraangsa dan Strategik UM pada 16 April lalu telah mengumumkan Program Profesor Pelawat 2024 di mana Bruce dijemput untuk menyampaikan syarahan dan mengendalikan bengkel selama tiga hari bermula 22 hingga 24 April lalu.

Bagaimanapun, semasa hari kedua program, Bruce telah mengeluarkan kenyataan berbentuk pro-zionis ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Will Malaysia Become an Active Middle Power?

Susulan itu, Institut Pengajian Cina UM telah membatalkan seminar yang sepatutnya berlangsung hari ini. – MalaysiaGazette