Bung Moktar Radin

KUALA LUMPUR – Apa saja alasan diberikan oleh wakil rakyat yang lompat parti, jawapan paling tepat atas tindakan mereka adalah penting diri, gila jawatan dan kuasa.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan, perbuatan mereka itu telah mendorong majoriti pimpinan beberapa parti mahu Akta Anti Lompat Parti diwujudkan.

“Dengan apa alasan sekali pun, sama ada lompat secara sukarelakah, dipaksakah, itu adalah pembohongan dan penipuan semata-mata.

“Kamu lompat kerana pentingkan diri sendiri untuk dapatkan jawatan dan kuasa.

“Saya seorang Ahli Parlimen yang konsisten menentang lompat parti ini, sebab ini perbuatan khianat, tidak bermaruah dan tidak berintegriti,” katanya di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, apa yang berlaku dalam politik ini ada pepatah menyatakan, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

Katanya, beliau masuk politik, kaki sebelah sudah hampir masuk penjara dengan hampir 80 peratus terdedah kepada fitnah serta tohmahan.

“Yang ada kes mahkamah, hadapilah. Macam saya ini, banyak ajak saya lompat sana, lompat sini, saya kata tidak, dari dulu prinsip saya tidak ada lompat-lompat.

“Kalah kalahlah, menang menanglah. Apa mahu? Ini demokrasi, rakyat tolak kita, tolaklah. Sebab mungkin ada kesalahan dan kelemahan yang kita buat.

“Aneh pulak hari ini banyak yang lompat parti berbahas dalam RUU ini, saya pun tak tahu, harap mereka ada keinsafan kerana sebab perbuatan merekalah negara ini kucar kacir,” katanya.

Bung Moktar turut menempelak Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bercakap tidak mahu pemimpin tidak ada integriti, tetapi pada masa sama partinya menerima wakil rakyat lompat parti.

“Saya tak suka pemimpin yang cakap tak serupa bikin. Kalau kamu ada pendirian, jangan terima yang lompat ini, mereka ini tak ada integriti tak bermaruah langsung.

Mereka juga pengkhianat, mahukah kita ada pengkhianat dalam rumah kita?,” soal beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast