Mispani (kanan) menunjukkan empat gelung tembaga yang dicuri tiga lelaki sebelum berjaya diberkas polis Jumaat lalu.

JASIN – Tindakan seorang pengawal keselamatan bersama dua rakannya mencuri 21 gelung tembaga milik majikannya dua hari selepas berhenti kerja membawa padah apabila diberkas polis kurang 24 jam selepas melakukan jenayah itu.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, selain suspek lelaki berusia 31 tahun itu, turut ditahan Jumaat lalu adalah rakannya yang juga pengawal keselamatan kilang kaca di Lipat Kajang bersama seorang lagi lelaki masing-masing berusia 35 dan 40 tahun.

Menurutnya, ketiga-tiga mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan 21 gelung tembaga seberat 1.05 tan yang dianggarkan bernilai RM42,000 dari sebuah tapak pembinaan di kilang kaca terbabit, Khamis lalu.

Mispani Hamdan

“Kehilangan tembaga itu yang disimpan di dalam sebuah kontena disedari jurutera tapak pembinaan itu kira-kira jam 1 tengah hari 7 April lalu sebelum segera membuat laporan polis pada hari sama.

“Hasil siasatan, polis berjaya membuat tangkapan pertama pada jam 10 pagi keesokan harinya melibatkan suspek berusia 35 tahun iaitu pengawal keselamatan yang bertugas di tapak pembinaan berkenaan.

“Susulan itu, berjaya menahan dua lagi suspek termasuk bekas pengawal keselamatan di kilang sama berusia 31 tahun yang baharu dua hari berhenti kerja dan seorang penganggur pada jam 10 dan 11 malam hari yang sama,” katanya.

Empat daripada 21 gelung tembaga yang dirampas.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin mengenai kes tangkapan itu di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mispani berkata, berdasarkan maklumat diperoleh pihaknya telah membuat serbuan ke atas sebuah premis membeli barangan terpakai di Batu Berendam sebelum berjaya menemui semula empat daripada 21 gelung tembaga terbabit.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku telah menjual empat gelung timah berkenaan yang mana setiap satu seberat 50 kilogram kepada peniaga di situ pada harga RM6,000 namun hanya menerima RM3,000 manakala bakinya masib belum diterima.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan baki 17 lagi gelung tembaga berkenaan,” katanya sambil menambah peniaga berusia 41 tahun itu turut dikenakan tindakan kompaun kerana tidak memiliki lesen perniagaan.

Jelasnya, semakan lanjut mendapati kesemua tiga suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.

Tambahnya, pihaknya turut menyiasat kemungkinan suspek sama juga pernah terbabit dalam kes kehilangan jongkong timah bernilai RM120,000 di kilang sama yang dilaporkan pada Januari lalu.

Kesemua mereka direman selama lima hari bagi membantu siasatan di bawah mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk. – MalaysiaGazette