Nazri Aziz

KUALA LUMPUR – Selain Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dimasukkan dalam klausa Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti, Datuk Seri Mohamed  Nazri Aziz turut mencadangkan Ahli Dewan Negara juga dikenakan tindakan sama menerusi akta berkenaan.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu menjelaskan, tindakan senator lantikan itu sebenarnya sama seperti Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sekiranya mereka bertukar parti kerana memberi kesan kepada rakyat di sesebuah kawasan di negeri diwakili Ahli Dewan Negara berkenaan.

“Jangan kita anggap Dewan Negara ini satu institusi yang tidak sama penting. Kita perlu ambil kira peranan mereka juga penting dalam mengubal undang-undang.

“Malah kalau kita lihat dari segi protokol Dewan Negara ini berada atas pada Dewan Rakyat walaupun mereka ini hanya pelantikan sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 pada Mesyuarat Yang Keempat Belas Penggal Yang Kelima Mesyuarat Khas hari ini.

Menurut Mohamed Nazri, tidak mungkin seseorang itu kalau bukan orang kuat parti maka nama mereka dicalonkan sebagai senator di peringkat negeri.

“Kepada saya, untuk Ahli Dewan Negara yang dilantik DUN, mesti perlu terikat dengan soal lompat parti ini kerana pernah berlaku PRU-14 pada 2018 sebahagian besar mereka dari Barisan Nasional beramai-ramai keluar menyokong kerajaan Pakatan Harapan.

“BN terkesan dengan sikap mereka dan sebab itu saya cadangkan mereka ini dimasukkan dalam akta lompat parti,” katanya. – MalaysiaGazette