Hoong Fong menunjukkan wajah suspek yang sedang dikesan polis untuk membantu siasatan kes seorang penyedia khidmat keranda di belasah di Klang baru baru ini.

KLANG – Seorang pekerja penyedia perkhidmatan keranda dibelasah dengan rantai besi serta ditampar oleh rakannya sendiri dalam dua insiden berasingan baru-baru ini dan tahun lalu.

Kejadian itu dikesan selepas polis mengesan satu posting video yang tular di Facebook yang memaparkan seorang lelaki memaksa mangsa memotong jari sendiri dan dipukul dengan rantai besi.

Susulan video tular, mangsa telah tampil di Balai Polis Klang pada jam 1.04 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, dalam aduannya, mangsa memberitahu pada 13 November tahun lalu, lebih kurang jam 8.30 malam semasa berada di rumah majikannya, dia telah bertengkar mulut dengan suspek seorang lelaki tempatan.

Dalam pertengkaran itu suspek telah menampar mangsa dua kali dan mencabarnya untuk memotong jari jika mangsa tidak mempunyai kaitan dengan kematian teman wanita mangsa.

Bagi membuktikan kebenaran, mangsa telah mengambil sebilah pisau dan memotong jari kelingking sebelah kiri.

”Ekoran tindakannya, mangsa pengsan dan dihantar ke hospital untuk rawatan. Namun kes itu tidak dilaporkan kepada polis,” katanya kepada media.

Suspek yang sedang dikesan polis IPD Klang selatan dalam insiden penyedia keranda dibelasah dengan rantai besi baru-baru ini.

Dalam kejadian kedua pada 10 April lalu, lebih kurang jam 9.30 malam, suspek sama telah datang ke rumah majikannya dengan rasa tidak puas hati atas kematian teman wanita mangsa.

Suspek telah mengambil rantai besi dan memukul mangsa beberapa kali di bahagian belakang badan, kepala, tangan kiri dan bahagian kakinya sebelum beredar.

Polis turut dimaklumkan bahawa suspek telah membuat rakaman video menggunakan telefon bimbit suspek dalam kedua-dua kejadian.

Hoong Fong berkata, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata.

Polis turut membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan iaitu menerbitkan video dalam sosial media dengan niat hendak mengapikan mana-mana golongan atau kaum untuk melakukan sesuatu kesalahan.

“Siasatan mendapati polis tidak menolak kemungkinan penglibatan suspek dalam kongsi gelap berdasarkan pelakukan suspek dalam rakaman video yang tular itu,” katanya.

Polis kini sudah mempergiatkan usaha mengesan suspek yang dikenali dengan nama Chong Guang Ming, 49.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222. – MalaysiaGazette