Van sekolah hilang kawalan dan terbabas di NPE petang tadi menyebabkan tiga murid tercedera ringan . Ihsan JSPTKL

KUALA LUMPUR – Sebuah van sekolah yang membawa murid sekolah rendah telah terbabas dalam satu kemalangan jalan raya hari ini.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam lebih kurang 1.45 petang di Lebuhraya Pantai Baru (NPE) tadi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Superintendan Zulkafli Che Lah berkata, ketika kejadian van sekolah itu dipandu oleh seorang lelaki warga emas dengan 10 orang penumpang.

Penumpang pula terdiri murid-murid berumur 7 hingga 9 tahun.

Semasa kejadian van berkenaan membawa murid-murid Sekolah Rendah Kebangsaan Brickfields 1 dan 2 menghala ke Jalan Pantai.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian di susur Jalan Syed Putra van yang dipandu lelaki tempatan berusia 62 tahun itu telah hilang kawalan dan terbabas serta melanggar batu penghadang di tengah jalan.

“Akibat kemalangan tersebut seramai tiga orang penumpang (murid) di dalam van itu mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, mereka telah dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya dan diberikan rawatan segera.

Sementara itu katanya, penumpang yang lain terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan dalam insiden itu.

“Pemandu van pula masih menerima rawatan di Zon Merah PPUM dan kes telah diklasifikasikan dan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang Ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 Atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana Balai Polis berhampiran,” ujarnya. – MalaysiaGazette