Ketua Pegawai Operasi Yew Lee, Amber Ang, Pengarah Urusan Yew Lee, Ang Lee Leong, Pengarah Urusan Pembiayaan Korporat M&A Securities, Datuk Bill Tan dan Timbalan Ketua, Pembiayaan Korporat M&A Securities, Danny Wong di majlis menandatangi perjanjian IPO Yew Lee di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Yew Lee Pacific Group Bhd (Yew Lee), pengeluar berus industri terkemuka serta perdagangan perkakasan perindustrian dan bahagian mesin bakal menerbitkan tawaran awam permulaan (IPO) 133. 1 juta di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities.

Berikutan penerbitan IPO itu, Yew Lee memeterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd (M&A Securities) hari ini yang melibatkan terbitan awam sebanyak 133.1 juta saham dan tawaran jualan sebanyak 26.62 juta saham untuk pelabur terpilih.

Pengarah Urusan Yew Lee, Ang Lee Leong daripada terbitan awam, sebanyak 26.62 juta saham diperuntukan untuk warga tempatan manakala 15.97 juta saham lagi akan diperuntukkan untuk pengarah dan kakitangan layak.

Sebanyak 23.96 juta saham lagi diperuntukkan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan; peruntukan 66.55 juta saham diperuntukkan menerusi penempatan persendirian untuk pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Di bawah perjanjian taja jamin tersebut, M&A Securities akan menaja jamin 42.59 juta saham daripada jumlah keseluruhan cadangan terbitan saham untuk orang awam Malaysia dan menerusi borang merah jambu. M&A Securities juga akan menempatkan 90.51 juta terbitan saham kepada pelabur terpilih dan pelabur bumiputera yang diluluskan oleh MITI.

”Penyenaraian ini akan membantu kami menjana modal yang diperlukan untuk pelan perluasan kami dan pada masa sama, meningkatkan keterampilan jenama kami di dalam industri berus industri,” ujarnya.

Manakala Pengarah Urusan Pembiayaan Korporat M&A Securities, Datuk Bill Tan berkata, M&A Securities tidak ragu-ragu Yew Lee akan membangun lebih lagi dan berjaya menerusi penyenaraian ini.

Yew Lee mengeluarkan berus industri untuk pelbagai industri, merangkumi pembuatan sarung tangan, perindustrian, elektrik dan elektronik, penyedia pembersihan industri dan komersial selain pengeluar kayu dan gelas.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, Malaysia menyumbang 81.4 peratus daripada keseluruhan hasilnya, dengan Thailand menyumbang 6.7 peratus dan Vietnam pula 6.2 peratus.

Mengikut industri, pengeluar sarung tangan menyumbang 88 peratus kepada perolehan pada tahun kewangan 2020. – MalaysiaGazette