Logo Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi

KUALA LUMPUR – Pembinaan pusat latihan Akademi Hevea Malaysia Cawangan Langkawi (AHML) di Langkawi adalah sebagai pusat dan sumber pengetahuan berkaitan pembangunan getah utama di negara ini.

Malah ia juga merupakan antara usaha Lembaga Getah Malaysia (LGM) dalam melaksanakan pelbagai kursus yang berkaitan dengan aktiviti huluan, pemprosesan dan hiliran bagi kemajuan getah negara, kata Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPK) menerusi kenyataan hari ini.

AHML juga katanya, merupakan bangunan menara pertama di Malaysia menggunakan galas getah seismik yang direka khas oleh LGM.

“Penggunaan galas getah seismik dapat memberi perlindungan maksimum kepada struktur daripada kerosakan akibat gegaran gempa bumi.

“Kementerian yakin bahawa potensi getah huluan dan hiliran boleh dipertingkatkan lagi dan seterusnya menyumbang kepada rasa pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19,” demikian menurut kenyataan itu.

Terdahulu, KPPK memaklumkan pusat berkenaan telah pun dirasmikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin. – MalaysiaGazette