CEO Bestinet, Ismail Mohd Noor.- Gambar FB Bestinet.

KUALA LUMPUR – Syarikat Bestinet Sdn Bhd akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) kerana didakwa membuat kenyataan fitnah berhubung pelaksanaan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ismail Mohd Noor  menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan palsu dan fitnah yang dilakukan pertubuhan terbabit berhubung perkara tersebut.

Beliau turut berasa kecewa dengan beberapa agensi media yang telah menerbitkan kenyataan tersebut yang sepatutnya diperiksa terlebih dahulu kesahihannya sebelum diterbitkan.

“Bestinet ialah syarikat IT (teknologi maklumat) dan perniagaan teras kami menyediakan penyelesaian IT. Kami membangunkan sebuah permohonan untuk kerajaan yang dinamakan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS).

“Ia adalah penyelesaian holistik dalam talian yang digunakan oleh pelbagai pihak berkepentingan untuk menambah baik kecekapan dan ketelusan dalam keseluruhan proses pengurusan dan pengambilan pekerja warga asing pekerja.

“Kami berbangga dengan ketulenan dan ketelusan kerja kami dan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tidak berasas itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Ismail, sebagai langkah untuk menjaga reputasi serta integriti, pihaknya telah mendapatkan nasihat undang-undang dan sebarang pengeluaran semula kenyataan itu akan diambil tindakan.

Sebelum ini, PAPSMA dalam kenyataannya menggesa kerajaan menyemak semula kontrak aplikasi FWCMS.

Kenyataan itu menyebut, sistem yang diperkenalkan telah tidak terpakai malah ia mengambil masa yang lama untuk memproses permohonan daripada majikan.

Ia mendakwa sejak Januari tahun ini, masih tiada hala tuju yang jelas berkaitan pengambilan pekerja asing atau berkaitan permohonan yang memenuhi keperluan khususnya industri dan majikan. – MalaysiaGazette