Wan Saiful dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid bergambar bersama dengan pemenang Cabutan WOW! Simpan SSPN Plus 2021 dan Kempen Stay Safe & Win SSPN-i 2021.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan kempen Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN dengan nilai keseluruhan hadiah bernilai hampir RM1 juta menanti untuk 350 orang pemenang.

Menariknya, kempen cabutan itu bukan hanya dikhaskan kepada pendeposit Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Plus sahaja, tetapi buat pertama kalinya turut diperluaskan kepada pendeposit Simpan SSPN Prime sebagai tanda penghargaan agensi tersebut kepada semua pendeposit Simpan SSPN.

Selain itu, Kempen Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN ini juga merupakan simbolik bagi meraikan kejayaan dalam memperkasakan amalan penabungan sempena 25 tahun penubuhan PTPTN, kata pengerusinya, Datuk Wan Saiful Wan Jan

Cabutan itu terdiri daripada tiga kategori iaitu Cabutan Tahunan Jubli Perak, Cabutan Khas Babyku Simpan dan Cabutan Siri.

Hadiah utama Cabutan Tahunan Jubli Perak berupa kereta Mercedes-Benz A250 AMG Line dan hadiah kedua berupa wang tunai RM100,000.

Manakala hadiah ketiga berupa wang tunai RM50,000 serta hadiah saguhati iaitu motosikal Honda Dash 125 menanti 22 pemenang.

Hadiah Cabutan Khas Babyku Simpan menawarkan wang tunai RM250,000 menanti 250 pemenang dan hadiah Cabutan Siri pula wang tunai hampir RM200,000 menanti 75 pemenang.

Wan Saiful berkata, tempoh promosi bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2022 bagi Cabutan Tahunan Jubli Perak dan Cabutan Khas Babyku Simpan serta 1 April hingga 31 Disember 2022 bagi Cabutan Siri.

Tempoh promosi bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2022 bagi Cabutan Tahunan Jubli Perak dan Cabutan Khas Babyku Simpan serta 1 April hingga 31 Disember 2022 bagi Cabutan Siri.

Untuk menyertai kempen ini, pendeposit hanya perlu membuat simpanan bersih serendah RM50 dalam tempoh promosi untuk melayakkan mendapat cabutan.

”Lagi banyak menyimpan, lagi banyak peluang untuk menang,” katanya.

Beliau menambah, usaha murni PTPTN dalam memupuk budaya penabungan di negara ini telah bermula pada tahun 2004 dengan pelancaran produk simpanan Simpan SSPN.

”Kini, menginjak hampir dua dekad di pasaran, produk ini terus berada di landasan kukuh sebagai produk simpanan yang berdaya saing dan setanding dengan produk simpanan lain di pasaran,” ujar beliau. – MalaysiaGazette