Tangkap layar menunjukkan sekumpulan individu menyediakan meriam karbaid dalam paip PVC sebelum membakarnya berhampiran kawasan jalan raya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

BUKIT MERTAJAM – Polis giat mengesan beberapa individu yang bermain meriam karbaid di tepi Jalan Permatang Rawa selepas kegiatan mereka dalam rakaman video tersebar.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, video berdurasi dua minit 20 saat menunjukkan sekumpulan lelaki dewasa sedang bermain meriam berkenaan tular di laman sosial Twitter.

“Video itu memaparkan mereka bermain meriam karbaid di tepi jalan raya selain membuat gangguan bising kepada penduduk.

Polis kini sedang giat mengesan individu yang terlibat dalam video tersebut.

“Siasatan berhubung kejadian ini masih dijalankan termasuk mengesan suspek yang terlibat dalam rakaman video itu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Shafee menasihati orang ramai agar tidak bermain meriam karbaid sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kerana ia merupakan kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Terdahulu, tular satu rakaman video memaparkan sekumpulan lelaki bermain meriam karbaid yang diperbuat daripada paip paip polivinil klorida (PVC) di hadapan deretan rumah kedai.

Berdasarkan rakaman tersebut meriam berkenaan dihalakan ke arah jalan raya yang ketika itu dilalui banyak kenderaan. – MalaysiaGazette