Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah. Foto MOHD ADZLAN, 07 DESEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Insiden kegagalan dua diplomat menguruskan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Dubai merupakan satu perkara yang sangat memalukan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu tidak seharusnya berlaku malah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah perlu mengambil tanggungjawab penuh mengenai insiden berkenaan.

“Menteri Luar harus mengambil tanggungjawab terhadap semua yang berlaku. Beliau lupa bahawa beliaulah yang memimpin Wisma Putra.

“Segala kejadian yang berlaku di Dubai adalah masalah yang terbit dari kegagalan beliau dalam memimpin dasar luar Malaysia yang aktif, bebas dan progresif serta memperjuangkan kepentingan antarabangsa Malaysia secara strategik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Khaled berkata, kegagalan yang dipamerkan Kementerian Luar Negara (KLN) adalah sesuatu yang serius dan memalukan negara.

Justeru itu, katanya tindakan KLN menyalahkan dua pegawai kanan terbabit adalah sangat tidak profesional.

“Apa pun alasan Wisma Putra, kegagalan ia merancang dan mengurus lawatan sepenting ini adalah sangat memalukan bukan sahaja kegagalan dari segi protokol malahan tiadanya rencana konkrit semasa lawatan Perdana Menteri menunjukkan betapa gagalnya Wisma Putra dalam merencana kepentingan Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya lagi.

Semalam, KLN memaklumkan langkah memanggil pulang Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai ke kementerian berkenaan telah dibuat.

Jelas KLN, dua pegawai kanan terbabit gagal menyelaras urusan pentadbiran dan logistik bagi lawatan Ismail Sabri seperti masa yang sepatutnya berdasarkan Prosedur Operasi Tetap (SOP) bagi lawatan peringkat tertinggi negara di luar negeri terutama semasa ketibaan Perdana Menteri di Dubai pada 29 Mac lalu.

Kegagalan itu termasuk menyebabkan Perdana Menteri terpaksa menunggu lama di ruang ketibaan biasa bagi urusan pelepasan pasport oleh Imigresen Dubai.

Malah dalam program tersebut, tiada liputan dan kawalan keselamatan serta pergerakan motoked yang sepatutnya disediakan untuk Perdana Menteri seperti amalan SOP. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast