Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan bekerjasama dengan syarikat SP Setia bagi menyediakan infrastruktur relevan untuk unit kediaman seperti pengecas kenderaan eletrik (EV) dan bateri bagi menyimpan tenaga elektrik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, langkah itu adalah bagi menyokong pertumbuhan EV di negara ini.

Katanya, penyediaan panel-panel solar bumbung oleh TNB kepada unit-unit kediaman dan komersial S P Setia bagi menyokong tenaga hijau akan mengoptimumkan kos elektrik untuk pembeli rumah masa depan dan menyokong agenda kelestarian

“TNB dan SP Setia akan bersama-sama mempromosi dan meningkatkan kesedaran mengenai solar atas bumbung, teknologi EV dan bateri sepanjang siri penglibatan dengan pihak berkepentingan berkaitan ekosistem teknologi hijau dan faedahnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangi Memorandum Persefahaman (MOU) antara TNB dan SP Setia Berhad hari ini.

Menurut Mustapa, kolaborasi itu dapat membantu kerajaan mencapai hasrat mencapai 45 peratus pengurangan Gas Rumah Hijau pada 2030.

Katanya, ia turut mengambil kira kepentingan ekonomi, sosial serta persekitaran yang bersih, sihat dan selamat kepada masyarakat.

Tambahnya, kerajaan menyambut baik inisiatif syarikat-syarikat GLC dan GLIC seperti S P Setia Berhad dan TNB yang telah mengambil langkah ke hadapan melalui komitmen bagi mencapai net zero carbon emissions menjelang 2050.

Kerajaan juga berharap akan mendapat sokongan sepenuhnya daripada pelbagai sektor dalam menjayakan program-program kelestarian.

“Inisiatif seperti ini menjadi semakin penting apabila rakan dagangan Malaysia, institusi kewangan dan pasaran modal meletakkan syarat pematuhan kepada prinsip ESG dalam keputusan pelaburan atau pengeluaran produk mereka.

“Sejajar dengan agenda kelestarian dan pertumbuhan hijau, kerajaan juga akan memperkukuhkan lagi pendekatan yang berteraskan elemen ESG,” ujarnya. – MalaysiaGazette