Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat

SEPANG – AirAsia Malaysia sedang menunggu permintaan penerbangan antarabangsa meningkat selepas sempadan mula dibuka, khususnya di rantau ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Riad Asmat berkata permintaan itu akan ditentukan oleh bagaimana sesebuah negara menyesuaikan diri dengan keadaan Covid-19 sekarang, selain impak daripada pembukaan sempadan mereka.

“Kami juga perlu melihat kepada permintaan, apabila ada permintaan, kami akan berusaha mengambil peluang tetapi ia amat bergantung bagaimana sesebuah negara menyesuaikan diri dengan keadaan semasa dan penerimaan mereka terhadap ketibaan antarabangsa, ini akan menentukan permintaan itu.

“Saya memuji langkah kerajaan sekarang ini. Perjalanan tanpa kuarantin adalah tarikan yang paling utama buat masa ini,” katanya pada sidang akhbar bagi mengumumkan pengembalian semula enam laluan syarikat penerbangan itu ke India hari ini.

Dengan sempadan dibuka semula, AirAsia mengumumkan bahawa ia akan terbang semula ke Bengaluru, Kolkata, Kochi, Hyderabad, Chennai dan Tiruchirappalli dengan jangkaan 71 penerbangan mingguan menjelang akhir tahun, yang mana syarikat penerbangan itu berharap untuk mencapai kapasiti pra-Covid iaitu lebih daripada 140 perkhidmatan pergi balik mingguan ke India.

“Dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia dan perjalanan bebas kuarantin, kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan pelancong antarabangsa kerana ini akan merangsang secara signifikan sektor pelancongan negara dan ekonomi, seperti yang pernah dicatatkan sebelum pandemik,” katanya. “Saya fikir daripada segi sumbangan, India akan menyumbang pertumbuhan dua digit yang signifikan ke pasaran kami. Asia dijangka akan menjadi penyumbang utama”.

Riad mendedahkan syarikat penerbangan itu juga sedang menjalankan pelan bagi memulakan kembali laluan ke Indonesia, Filipina, Vietnam dan Thailand selepas sempadan mereka dibuka semula.

“Indonesia sedang dibuka dan diharapkan menjelang tahun depan, pembukaan semula sempadan akan berlaku. Daripada segi perancangan, semuanya sudah disusun dan saya selesa dengan apa yang sedang kami buat,” katanya. -BERNAMA