Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakan syarat debat terbuka antara beliau dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibuat secara terbuka.

Debat berkenaan juga tidak seharusnya menyekat kebebasan media untuk membuat liputan masing-masing.

“Saya sedia mana-mana ketika tanpa syarat. Asalkan ia harus terbuka di medan dan diizinkan rakyat menonton, sekarang dia mengulas katakan tidak wajar di bulan Ramadan dan cecah ke awal bulan Syawal.

“Dia tetapkan hanya satu portal kecil (jadi penganjur) saya jawab harus terbuka mana media besar sama ada Sinar Harian, TV3, RTM tetapi jangan menyekat kebebasan media supay rakyat boleh menilai, saya harap Najib jangan berdolak-dalih lagi,” katanya dalam video terbarunya di Facebook malam tadi.

Sebelum ini Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil mendakwa penyelaras debat bagi kem Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil telah bersetuju untuk mengadakan debat selepas bulan puasa.

Dalam pada itu, Fahmi pula seperti dilapor Malaysiakini mengesahkan akan mengadakan pertemuan dengan Isham hari ini bagi menyelesaikan masalah berhubung perdebatan itu.

Minggu lalu, Ketua Pembangkang itu menyatakan kesediaannya untuk berdepan dan berdebat dengan Ahli Parlimen Pekan mengenai isu kewangan Sapura Energy Berhad (SEB).

Sebelum ini, Najib menyatakan kesediaan beliau untuk menerima cabaran debat daripada Rafizi Ramli tetapi ia perlu turut melibatkan Anwar. – MalaysiaGazette