Tan Sri Mohamed Apandi Ali Attorney-General termination Mahathir Mohamad government suit
Tan Sri Mohamed Apandi Ali

KUALA LUMPUR – Kes saman difailkan Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Malaysia berhubung penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara, diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam Datuk Dr Baljit Singh Sidhu yang mewakili Mohamed Apandi selaku plaintif dalam saman itu, bagaimanapun berkata terma-terma penyelesaian tidak boleh didedahkan.

“Atas dasar tanpa prasangka, pihak kerajaan bersetuju untuk menyelesaikan kes ini tanpa sebarang pengakuan liabiliti. Kes saman itu dibatalkan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula dan tanpa perintah untuk kos,” katanya ketika dihubungi pemberita selepas prosiding kes di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir menerusi sidang video, hari ini.

Prosiding itu turut disertai dua lagi peguam Mohamed Apandi iaitu Datuk Dr Abdul Shukor Ahmad dan Nor Shahadah Saari manakala Peguam Kanan Persekutuan Donald Joseph Franklin mewakili Dr Mahathir dan kerajaan.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 18, 20, 21 dan 22 April ini untuk perbicaraan kes saman tersebut.

Pada 13 Okt 2020, Mohamed Apandi memfailkan saman menamakan Dr Mahathir dan kerajaan, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua, memohon antara lain perisytiharan penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara yang dibuat oleh bekas perdana menteri itu sebagai tidak sah.

Dalam pernyataan tuntutan, Mohamed Apandi yang merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik sebagai Peguam Negara pada 2015, juga menuntut perisytiharan bahawa defendan pertama (Dr Mahathir) telah menyalahgunakan kedudukannya dan bahawa defendan pertama telah mendorong berlakunya pelanggaran kontrak antara beliau dan kerajaan Malaysia.

Beliau juga memohon perisytiharan bahawa wujud kegagalan pematuhan terhadap Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dalam pemecatannya dan bahawa pemecatannya sebagai Peguam Negara adalah tidak mengikut undang-undang, dan oleh itu tidak sah.

Mohamed Apandi memohon ganti rugi khas RM2,233,599.36, ganti rugi am dan teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 12 Nov 2020, kedua-dua defendan itu menegaskan tindakan menamatkan kontrak perkhidmatan Mohamed Apandi sebagai Peguam Negara adalah sah serta mengikut peruntukan undang-undang dan tiada penyalahgunaan kuasa oleh Dr Mahathir dalam hal itu.

— BERNAMA

 

1 Komen

  1. Lepas tu sapa bayar ganti rugi kpd Apandi? Kerajaan bayar pakai duit rakyat kaaa?? Mahathir yg perlu bayar! celaka betul lah menghabiskan duit pembayar cukai!

Comments are closed.