Tambak Johor merupakan sambungan darat pertama antara Malaysia dan Singapura dan ia menghubungkan bandar Johor Bahru dengan bandar Woodlands di Singapura. Foto MOHD ADZLAN, 25 JANUARI 2022.

SINGAPURA – Singapura bakal menarik balik keperluan pengisytiharan kesihatan bagi pengembara yang tiba melalui pusat pemeriksaan darat khususnya mereka yang berulang-alik merentasi sempadan setiap hari untuk bekerja dan belajar, berkuat kuasa 15 April 2022.

Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) menerusi laman sesawangnya memaklumkan langkah itu bagi memudahkan lagi rakyat Singapura yang lengkap vaksin COVID-19 – penduduk tetap – pemegang pas jangka panjang (LTP) memandangkan peningkatan jumlah trafik di pusat pemeriksaan.

Bagaimanapun, masih ada beberapa syarat perlu dipatuhi, antaranya, mereka yang menerima vaksin di Singapura, status vaksinasi mesti dipaparkan dalam aplikasi TraceTogether dan/atau HealthHub.

Sementara itu, individu yang menerima suntikan vaksin di luar negara pula perlu mengemukakan bukti vaksinasi menerusi sistem Kementerian Kesihatan Singapura untuk kemasukan pertama.

Selain itu, pengembara tidak mempunyai sejarah perjalanan ke mana-mana negara/rantau yang dikategorikan ‘Terhad’ dalam tempoh tujuh hari.

Sejak 27 Mac 2020, semua pelancong, termasuk rakyat Singapura dan pemegang LTP mesti mengemukakan deklarasi kesihatan sebelum ke pusat imigresen.

Dalam pada itu, pengembara kategori lain yang tiba melalui pusat pemeriksaan darat masih perlu mengemukakan pengisytiharan kesihatan melalui e-Service Kad Ketibaan SG dalam tempoh tiga hari sebelum ketibaan.

Ia termasuk warga Singapura yang lengkap vaksinasi dan pemegang LTP, serta semua pengembara yang mempunyai sejarah perjalanan ke mana-mana negara/rantau ‘Kategori Terhad’ dalam tempoh tujuh hari, menurut ICA.

Pengisytiharan kesihatan masih terpakai untuk semua pengembara, termasuk rakyat Singapura dan pemegang LTP yang tiba melalui jalan udara dan laut.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast