Seorang lelaki maut selepas terjun dari tingkat 6 IDCC Shah Alam dalam kejadian hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut setelah terjun dari bangunan enam tingkat tempat letak kereta Pusat Konvensyen Antarabangsa Ideal (IDCC) di Seksyen 15, Shah Alam dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, dalam kejadian jam lebih kurang pukul 1.30 tengahari tadi, lelaki berusia 56 tahun dan tidak bekerja itu dipercayai tinggal di Kuala Lumpur dan datang ke IDCC  menaiki kereta milik sendiri sebelum insiden itu berlaku.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selepas terjatuh.

“Si mati dipercayai terjun dengan memijak bonet hadapan kereta yang diletakkan di parkir untuk terjun dari tingkat enam bangunan tersebut dan tiada sebarang nota ditemui atau ditinggalkannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Iqbal, pihak forensik mengesahkan tiada sebarang pergelutan dan tiada kecederaan lain dikesan pada badan mangsa.

“Mayat telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian.

“Mangsa sebenarnya tiada urusan di tempat (IDCC) tersebut dan disyaki mencari tempat yang lebih tinggi (terjun),” katanya lagi.

Kes telah diklasifikasikan sebagai kematian mengejut atau Sudden Death Report dan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh salurkan kepada Sarjan Muhammad Nor di talian 03-55202222.- MalaysiaGazette