KUALA LUMPUR – Tiga termasuk seorang wanita yang bekerja sebagai tukang jahit ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan kes seorang lelaki warga Myanmar yang maut ditikam di belakang sebuah kedai Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian jam 6.30 petang itu berlaku di Jalan Gigih 25/41 Seksyen 25 Shah Alam.

“Hasil siasatan awal polis di lokasi mendapati mangsa berusia 20-an telah mengalami kecederaan parah di bahagian perut akibat tikaman isebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

“Malah, pemeriksaan polis dan pasukan forensik di lokasi berjaya menjumpai dua bilah pisau iaitu berhampiran mangsa dan berdekatan longgokan sampah di lorong berhampiran kedai tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Iqbal, bertindak atas maklumat kejadian tiga suspek yang ditahan disyaki bersubahat dan terlibat dalam jenayah tersebut berjaya ditangkap polis.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ujarnya, suspek wanita bekerja sebagai tukang jahit manakala dua suspek lelaki itu bekerja sebagai penjaga kedai makan di daerah tersebut.

“Ketiga-tiga suspek termasuk seorang wanita kesemuanya merupakan warga Myanmar berusia antara 20 hingga 40-an dan berjaya ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut polis.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Klang untuk proses bedah siasat.

“Setakat ini belum diketahui motif pembunuhan itu dan polis meneruskan siasatan lanjut bagi mengesan saki baki suspek yang disyaki berada di luar selain rakaman percakapan saksi-saksi lain kejadian tersebut.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini, boleh salurkan kepada Pegawai Penyiasat kes ASP Mohd Afandi di talian 03-55202222,” tegasnya.-MalaysiaGazette