Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah

PUTRAJAYA – Pekeliling perkhidmatan berkaitan garis panduan pemberian dan penerimaan hadiah dalam perkhidmatan awam dipinda dengan semakan dilakukan terhadap definisi nilai penerimaan hadiah.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah berkata pindaan itu dibuat bagi memperkukuh mekanisme pemantauan atau penerimaan hadiah.

Beliau berkata draf pindaan tersebut telah dihantar dan kini menunggu kelulusan Jabatan Peguam Negara.

“Usaha sedemikian sentiasa dilaksanakan dalam perkhidmatan awam, jadi masyarakat harus memberi komitmen dan menjadi tanggungjawab bersama memerangi rasuah,” katanya dalam perjumpaan bersama media di sini, semalam.

Mengenai penjawat awam yang belum menerima vaksin COVID-19, Mohd Shafiq yang dilantik sebagai KPPA pada 10 Feb lepas berkata 585 orang berdepan tindakan tatatertib kerana tidak mengambil vaksin tanpa alasan munasabah.

— BERNAMA