Tiga suspek dalang sindiket judi online di kondominium mewah diberkas polis. - Gambar Ihsan IPKKL

KUALA LUMPUR – Seorang wanita antara tiga suspek yang menjadi dalang sindiket perjudian dalam talian ditahan polis di sini semalam.

Dengan tangkapan itu polis berjaya membongkar kegiatan sindiket itu yang melakukan aktiviti haram itu secara tersembunyi di sebuah unit kondominium mewah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, pihaknya menyerbu kondominium berkenaan kira-kira pukul 5. 45 petang.

“Hasil serbuan di dalam satu sebuah rumah di Kondominium itu berjaya melakukan tangkapan ke atas dua lelaki dan seorang wanita kesemuanya tempatan.

“Mereka ketika serbuan, mereka leka dengan aktiviti perjudian dalam talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd. Mahidisham, ketiga-tiga suspek berusia 18 hingga 22 tahun.

Hasil pemeriksaan lanjut, polis berjaya merampas dua unit komputer riba pelbagai jenama, seunit monitor komputer berjenama Viewsonic, tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama dan seunit modem.

Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga Khamis ini untuk disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka.

Polis menasihatkan orang ramai sekiranya mempunyai maklumat boleh menghubungi Hotline Polis KL di talian 03-2146 0584/0585, CCUD Scam Respons di 03-2610 1559/1599 atau WhatsApp CCID Hotline di talian 013-2111222 serta semakmule.rmp.gov.my atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette