Kes baharu yang direkodkan semalam menunjukkan trend menaik kepada lebih 10,000 kes.

KUALA LUMPUR – Kes baharu Covid-19 yang mula beransur menurun dalam tempoh empat hari berturut-turut sejak Jumaat lalu, merekodkan peningkatan sepanjang tiga hari ini.

Kes yang turun di bawah angka 7,000, naik kepada 10,052 kes semalam.

Namun, kes sembuh masih mengatasi kes baharu iaitu 15,893 kes dengan 4,196,656 kes kumulatif sembuh.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, jumlah kumulatif bagi kes baharu bertambah kepada 4,352,611 kes.

Katanya, kes import pula hanya merekodkan 21 kes iaitu 18 melibatkan warganegara dan tiga bukan warganegara.

“Manakala kes tempatan sebanyak 10,031 kes iaitu 9,606 warganegara dan 425 bukan warganegara.

“Kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 161 iaitu 63 kes disahkan Covid-19, 98 kes disyaki.

“Bagi kes memerlukan bantuan pernafasan pula sebanyak 99 kes iaitu 41 kes disahkan Covid-19 dan 58 kes disyaki,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Perincian kategori kes, iaitu daripada 10,052 kes harian yang dilaporkan, kategori 1 sebanyak 5,715 kes, kategori 2 (4,272 kes), kategori 3 (31 kes), kategori 4 (17 kes) dan kategori 5 (17 kes). – MalaysiaGazette