Anthony Loke Siew Fook. Foto HAZROL ZAINAL, 14 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Norhizam Hassan Baktee atau lebih dikenali YB Viral dinasihatkan agar melupakan sahaja niatnya yang mahu kembali menjadi calon DAP untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang membuat teguran itu berkata, DAP tidak akan menerima kembali individu seperti Norhizam untuk dicalonkan mewakili parti pada pilihan raya tersebut.

Katanya, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu itu sudah membuat keputusan untuk keluar parti sebelum ini dan tidak wajar untuk DAP mengutipnya kembali.

“Norhizam dia beritahu Utusan Malaysia bahawa dia buat persediaan untuk bertanding dalam PRU akan datang di bawah tiket UMNO atau DAP. Saya nak beritahu dia lupakanlah.

“Untuk kes Norhizam ini sudah jelas…kita takkan buat sesuatu yang bodoh. Jadi, kalau dia ingat dia nak kembali lupakan saja,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum ini, Norhizam dilaporkan mengintai peluang untuk bertanding di kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya pada PRU-15.

Beliau mengakui perlu bergerak atas tiket parti kerana tidak mahu mengulangi episod kekalahan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana bertanding sebagai calon bebas.

Norhizam turut mengakui dirinya telah ‘dipinang’ oleh parti-parti politik untuk menjadi ahli sekali gus ditawarkan sebagai calon pada PRU itu.

Dalam pada itu, Siew Fook turut memberikan amaran sama kepada anggota DAP yang lain agar tidak bersikap seperti Norhizam dengan keluar parti.

“Kalau mereka nak masuk mana-mana parti lain, sama ada untuk menyertai bebas, sebagai ADUN atau apa sahaja, polisi kita tetap sama…sebab itu kita nakkan Akta Anti Lompat Parti ini dilaksanakan,” tambahnya.

Dalam pada itu Siew Fook menegaskan bahawa DAP tidak pernah mengiktiraf perbuatan lompat parti dan disebabkan itu parti berkenaan berharap agar Rang Undang-Undang (RUU) Akta Anti Lompat Parti disegerakan.

Tegasnya, DAP tidak menyokong perbuatan lompat parti kerana amalan itu merupakan sesuatu yang tidak sihat. – MalaysiaGazette