Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 14 APRIL 2022.

PUTRAJAYA – Majlis Pemulihan Negara (MPN) menggesa proses kelulusan bagi permohonan-permohonan bagi pekerja asing disegerakan untuk menampung keperluan pekerja oleh industri-industri yang mendesak.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses itu boleh dilaksana dengan mengurangkan kerenah birokrasi dan mempermudah serta menambah baik proses kelulusan permohonan yang diterima daripada industri.

Sebagai langkah jangka pendek, MPN mencadangkan supaya kelulusan bersyarat boleh diberikan kepada permohonan yang sedang diproses untuk menyegerakan bekalan tenaga kerja asing kepada sektor-sektor yang terjejas.

Tambahnya, bagi jangka masa panjang pula, MPN berpandangan isu struktural kekurangan tenaga kerja dan kebergantungan kepada tenaga kerja asing perlu ditangani secara menyeluruh.

“Mesyuarat juga mengambil maklum inisiatif-inisiatif yang telah diberikan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan bencana banjir.

“Namun demikian, majlis berpandangan bahawa inisiatif disediakan secara optimum mengikut keutamaan.

“Justeru, mesyuarat mencadangkan supaya pihak kementerian mengenal pasti sektor-sektor yang paling terjejas bagi memastikan inisiatif-inisiatif boleh diubahsuai dan disasarkan. Ini bagi memastikan sektor-sektor ini tidak ketinggalan dalam usaha pemulihan negara,” katanya pada sidang selepas mesyuarat MPN di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Muhyiddin menambah, MPN mengambil maklum terdapat penurunan ketara jumlah tenaga kerja asing sebanyak lebih 20 peratus sejak pandemik Covid-19 melanda negara ini.

Jelas beliau, kerajaan pada 15 Februari lalu telah memberi kebenaran permohonan pengambilan pekerja asing bagi semua sektor.

“Namun begitu, hanya 163 dari 4,561 permohonan kuota pekerja asing telah diproses sehingga kini.

“Majlis juga menyedari keluhan dan kerugian yang dialami pengusaha-pengusaha industri terutamanya dalam sektor perladangan, perkilangan dan perkhidmatan akibat kekangan tenaga kerja yang mendesak setelah ekonomi dibuka sepenuhnya,” katanya. – MalaysiaGazette