Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 14 APRIL 2022.

PUTRAJAYA – Majlis Pemulihan Negara (MPN) mencadangkan agar fungsi aplikasi MySejahtera sebagai alat pengesanan kontak dikaji bagi penggunaan yang berkesan dalam peralihan ke fasa endemik.

Bagaimanapun Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, MPN menyerah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membuat keputusan yang bijaksana.

Jelas beliau, ini kerana Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah menjelaskan aplikasi itu masih perlu digunakan sebagai data untuk mengawal penularan Covid-19.

“Ahli majlis berpandangan MySejahtera telah lama digunakan sejak awal pandemik Covid-19 dan masih digunakan sehingga sekarang.

“Namun KP Kesihatan dalam penjelasannya berkata MySejahtera masih perlu digunakan sebagai data yang digunakan sebagai mengawal penularan Covid-19.

“Bagi MPN, kita serahkan kepada kebijaksanaan KKM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat MPN di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Akhir bulan lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, KKM akan mengkaji keberkesanan penggunaan daftar masuk di aplikasi MySejahtera dalam tempoh sebulan ini sebelum dihentikan prosedur operasi standard (SOP) itu untuk masuk ke mana-mana premis.

Beliau berkata, KKM akan meneliti corak pergerakan dan jangkitan Covid-19 dalam waktu itu berikutan pembukaan sempadan negara dan kelonggaran dibenarkan 1 April lalu. – MalaysiaGazette