cash aid M40 B40 Najib Razak Anwar Ibrahim Sapura Energy debate 1MDB debt
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib  Razak mengingatkan rakan pemimpin PKR supaya tidak mereka cerita yang bukan-bukan di sepanjang Ramadan ini mengenai tarikh debat.

Mantan Perdana Menteri itu berkata, kalau mengikuti cerita dari pembangkang, beliau dipersalahkan seratus peratus, walaupun yang memulakan cabar berdebat adalah pemimpin nombor tiga PKR, iaitu Rafizi Ramli.

“Bulan Ramadan ini, nak cerita biar cerita penuh. Tengok tarikh ni, 1 April 2022 Rafizi cabar Najib debat, 2 April 2022 Najib sahut cabaran debat tapi ajak (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) bersama.

“Kemudian 3 April 2022 (hari pertama Ramadan) Anwar bersetuju debat dan 6 April 2022, Anwar kata ‘waktu sesuai sedang diatur dengan Najib’,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Beliau mengulas beberapa kenyataan yang dikeluarkan Anwar dan Fahmi yang menyindirnya seolah mengelakkan diri daripada berdebat dalam bulan Ramadan.

Kenyataan itu memberi gambaran kepada umum bahawa Najib yang bersungguh-sungguh mencabar Anwar debat, tetapi apabila pihak lawan bersetuju, bermacam-macam helah diberikan berhubung tarikh.

Menurut Najib, selepas kedua mereka menyatakan persetujuan, maka pertemuan pembantunya dan Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil dengan wakil PKR diketuai Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil diadakan.

Selepas itu juga, katanya, Isham telah memaklumkan di media sosial, yang beliau ada berjumpa dengan Fahmi minggu lepas untuk berbincang berhubung debat.

“Dalam perjumpaan itu, kata Isham, Fahmi setuju untuk buat debat selepas raya (Hari Raya Aidilfitri) dan Fahmi juga kata, minggu kedua atau ketiga (lepas raya) pun sesuai.

“Namun, kata Isham, semalam Fahmi memaklumkan kepada media, dia dan PKR tidak setuju pula debat selepas Hari Raya Aidilfitri.

“Maka Isham jawab, apa punya pusing orang PKR ini. Bulan puasa pun nak sembang. Bulan-bulan puasa ni tak baik menipu, YB,” kata Najib menceritakan kronologi pertemuan antara orangnya, Isham dengan team Fahmi.

Menurut Najib, ketika menumpukan amal ibadah sepanjang 10 hari puasa, beliau terkejut apabila tiba-tiba geng PKR dan Anwar menuduhnya yang cabar debat pada bulan Ramadan.

“Padahal yang mula cabar ialah geng dia, Rafizi… dan geng dia, Fahmi juga yang kata masa paling sesuai debat ialah selepas Ramadan dari segi pengaturan masa, slot masa TV dan demi menghormati bulan Ramadan.

“Yang cabar, korang. Yang sahut, Najib. Yang bersetuju lepas puasa, korang. Yang tuduh kononnya Najib tak berani, korang juga?

“Saya langsung tak takut. Saya beri jaminan, saya akan debat Anwar berhubung isu Sapura Energy. Ini jaminan saya dan saya akan tunaikan. Sebab saya bukan puak manifesto bukan kitab suci,” katanya Najib menyindir. – MalaysiaGazette