Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (kanan) bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (dua kanan) beramah mesra dengan sebahagian mahasiswa selepas Prapelancaran PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Multimedia, Cyberjaya. Foto FAREEZ FADZIL, 14 APRIL 2022.

CYBERJAYA – Perolehan siling bagi pembelian inisiatif PerantiSiswa telah ditetapkan sebanyak RM450 juta oleh Kementerian Kewangan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, jumlah sebenar akan ditentukan dalam tender namun ia tidak boleh melebihi siling.

Menurut beliau, jumlah 350,000 itu adalah angka terperinci yang diperoleh daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) walaupun semasa pembentangan Bajet 2022 jangkaannya sebanyak 600,000 tablet.

“Ia adalah angka anggaran pada ketika itu dan berasaskan kepada perhitungan untuk membeli tablet yang ada dalam pasaran sekarang iaitu sebanyak RM500, RM600, RM800 memanglah boleh dapat sehingga 500,000, 600,000 tablet.

“Namun setelah mendapat nasihat daripada pelbagai jawatankuasa, kita membuat keputusan untuk memberi tablet berkualiti tinggi daripada jenama premium, bukan OEM atau yang dikeluarkan dalam jumlah besar pada harga murah,” katanya dalam prapelancaran PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Multimedia, hari ini.

Hadir sama adalah Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Annuar menambah, menerusi inisiatif PerantiSiswa dibawah K-KOMM sebilangan mahasiswa Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik dan Kolej Komuniti di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang tergolong dalam keluarga B40 seluruh negara berpeluang mendapat peranti ini.

Beliau memberi jaminan bahawa tablet yang akan dipilih itu sesuai digunakan pada masa ini, khususnya dalam sektor pendidikan yang mengguna pakai alternatif pelaksanaan pembelajaran secara maya atau hibrid untuk kelangsungan pendidikan.

Malah spesifikasi tablet ini juga menawarkan kemampuan optimum bagi kesinambungan dan juga aplikasi asas berkaitan pendidikan, selain tempoh waranti tertentu.

Jelas Annuar, inisiatif ini akan memanfaatkan mahasiswa yang sedang mengikuti pengajian di peringkat diploma, diploma lanjutan dan ijazah sarjana muda.

Katanya, permohonan Pakej PerantiSiswa secara dalam talian akan dibuka mulai esok.

Lebih lanjut, segala permohonan PerantiSiswa Keluarga Malaysia boleh dibuat menerusi laman web rasmi https://perantisiswa.kkmm.gov.my

Untuk rekod, inisiatif PerantiSiswa ini menggunakan Konsep Guna Pakai selama tempoh pengajian.

Ia bertujuan mengelakkan penyalahgunaan peranti seperti menjual atau memberikannya kepada orang lain selain daripada memastikan hanya mahasiswa yang benar-benar memerlukan peranti mendapat manfaat.

Dalam pada itu, Annuar berkata, berdasarkan anggaran jumlah dalam perolehan itu, kementeriannya akan melihat sekiranya ada ruang program peranti ini diperluaskan kepada kelompok selain daripada yang umumkan pada hari ini. – MalaysiaGazette