Undi18 Sarawak state election polls Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Undi18 voters Election Commission anti-party hopping
Wan Junaidi Tuanku Jaafar

MENELUSURI segala perkembangan yang berlaku sebelum, sewaktu dan selepas pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 sehubungan dengan usaha mengekang perbuatan melompat parti di Dewan Rakyat pada Isnin lalu, sukar digambarkan betapa beratnya tanggungan yang dihadapi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dalam menyediakannya.

Bayangkanlah, telah lapan bulan Wan Junaidi bersama-sama para pegawai beliau serta pasukan dari Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bekerja keras menyiapkan satu draf RUU yang boleh dipersetujui bersama setelah berkali-kali mereka melaksanakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak, termasuk kedua-dua Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan Ahli-Ahli Dewan Negara dari pihak Kerajaan dan Pembangkang.

Tiba-tiba sahaja selepas draf akhir RUU ini dikemukakan sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin lalu, di dalam taklimat kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan Ahli-Ahli Dewan Negara di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri, pada Ahad lalu, ada pula dalam kalangan mereka yang tidak pernah hadir di dalam sesi libat urus yang dikhususkan kepada mereka boleh menyalahkan Wan Junaidi kerana dikatakan tidak merundingi mereka terlebih dahulu.

Begitulah juga dengan kandungan ucapan sebahagian mereka di dalam taklimat tersebut pada Ahad lalu serta kandungan ucapan perbahasan sebahagian mereka di dalam sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin lalu yang menyentuh mengenai perkara-perkara yang sebenarnya telah dibincangkan berkali-kali di dalam sesi libat urus yang dilaksanakan oleh Wan Junaidi serta pasukan beliau tetapi yang telah gagal dihadiri oleh sebahagian besar daripada mereka.

Di dalam sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin lalu contohnya, Ahli-Ahli Dewan Rakyat dari Tuaran, Semporna, Kota Belud dan Kinabatangan telah mencadangkan supaya larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti hanya dilaksanakan melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan sahaja tanpa perlu digubal suatu akta khusus sedangkan mereka patut tahu bahawa inilah yang asalnya cuba dilakukan oleh Wan Junaidi serta pasukan beliau melalui draf awal RUU ini.

AGC sebenarnya telah pun menyediakan draf awal RUU Pindaan Perlembagaan yang komprehensif sebelum ini berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti. Di dalam draf awal RUU ini sudah pun dinyatakan secara jelas apa yang termasuk di dalam kategori lompat parti dan apa yang tidak termasuk di dalamnya. Justifikasi pada ketika itu adalah untuk memastikan suatu peruntukan yang kukuh dan tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak.

Keadaan sama berlaku dengan Ahli-Ahli Dewan Rakyat dari Port Dickson, Sibuti, Seremban, Selayang, Pengerang, Parit Buntar dan Rasah yang turut mengemukakan persoalan mengenai keperluan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan iaitu tempoh masa bertenang selama 5 tahun kepada ahli-ahli Parlimen dimansuhkan dan mandat dikembalikan kepada rakyat. Sedangkan perkara ini sebenarnya telah turut ditangani di dalam draf awal RUU ini.

Seperti yang dijelaskan oleh Wan Junaidi, draf awal RUU ini dirancang untuk mengandungi satu peruntukan baru yang akan membawa maksud bahawa seseorang Ahli Parlimen akan terlucut jawatan dan kerusinya akan dikira dikosongkan jika beliau sama ada, satu, melepaskan keahlian atau dipecat daripada, atau berhenti atas apa-apa jua sebab daripada menjadi ahli, parti politik itu, atau, dua, menyertai suatu parti politik setelah dipilih di atas tiket bebas.

Draf awal RUU ini juga dirancang untuk mengandungi satu peruntukan baru yang akan membawa maksud bahawa seseorang Ahli Dewan Rakyat yang kerusinya telah menjadi kosong akibat tindakan melompat parti ini boleh bertanding semula di dalam mana-mana pilihan raya yang berikutnya, sekali gus mengecualikan pemakaian Perkara 48 (6) Perlembagaan Persekutuan kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang kehilangan kerusi akibat bertukar parti.

Begitupun, ada pertikaian mengenai apa yang termasuk di dalam kategori lompat parti yang terkandung di dalam draf awal RUU ini, khususnya cadangan peruntukan bahawa Ahli Parlimen akan terlucut jawatan jika beliau dipecat daripada sesebuah parti politik yang dikatakan akan memberi kuasa yang terlalu besar kepada sesebuah parti politik untuk mengawal Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang boleh membuka ruang untuk disalahguna.

Selain itu, ada juga kehendak supaya undang-undang anti lompat parti dibuat dalam bentuk akta dan bukannya dalam bentuk pindaan Perlembagaan Persekutuan yang sifatnya terlalu umum dan yang akan menjadi sukar untuk dipinda di kemudian hari disebabkan ia memerlukan 2/3 majoriti. Ini juga dikatakan akan membolehkan lebih banyak perincian dibuat dari segi takrifan, pengecualian dan ilustrasi kes-kes tertentu sehubungan definisi lompat parti.

Disebabkan terdapat Ahli Kabinet yang menganggap bahawa cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan itu masih memerlukan penelitian lanjut daripada aspek dasar, misalnya tafsiran yang jelas mengenai tindakan bertukar parti, maka Mesyuarat Kabinet pada 6 April memutuskan mengenai keperluan untuk mewujudkan suatu akta yang khusus bagi maksud ini manakala sidang khas Dewan Rakyat pada 11 April hanya melibatkan pindaan untuk membenarkan hak untuk membentuk persatuan dihadkan oleh undang-undang Persekutuan.

Seperti semua tahu, sidang khas ini berjalan baik dengan semua pihak diberi ruang seluas-luasnya untuk membahaskan RUU tersebut di mana 59 orang ahli Dewan Rakyat telah mengambil bahagian. Ia pada akhirnya telah sebulat suara menerima satu usul berkaitan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk meneliti dan memuktamadkan draf RUU Pindaan Perlembagaan dan RUU berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Paling menarik adalah ucapan penggulungan Wan Junaidi yang memetik satu ungkapan Winston Churchill bagi melafazkan tekad beliau untuk meneruskan perjalanan beliau sehingga RUU ini direalisasikan selain satu ungkapan Edmund Burke bagi menekankan bahawa dalam proses libat urus yang akan diadakan seterusnya, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia, semangat kompromi dan tolak ansur akan digunakan bagi mencapai satu kata sepakat.

Sesungguhnya inilah semangat keterangkuman dan kebersamaan yang kita mahukan. Tidak syak lagi, melalui semangat ini adalah diyakini RUU ini akhirnya akan mampu direalisasikan.

Dr Kamarul Zaman Yusoff adalah Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), merangkap Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR)