Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan membuka 1,000 permohonan Lesen Kelas Teksi dan Kereta Sewa kepada individu awam di bawah perniagaan milikan tunggal dan perkongsian.

Permohonan itu dibuka bermula pada 18 April 2022 sehingga 30 Jun 2022 di semua Pejabat Wilayah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan kaunter APAD di cawangan JPJ negeri.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, membuka permohonan itu berikutan permintaan daripada orang awam yang berhasrat untuk memiliki Lesen Teksi sendiri namun syarat sedia ada sukar dipenuhi.

Selain itu, pemandu teksi sedia ada turut menyuarakan hasrat untuk memiliki lesen sendiri namun demikian syarat pengalaman memandu teksi sehingga tiga tahun menyebabkan permohonan mereka tertangguh.

Menurutnya, ketetapan syarat tersebut adalah sebahagian daripada syarat yang ditetapkan di bawah Program Transformasi Industri Teksi (TITP) yang diperkenalkan sejak tahun 2016.

”Sebagai permulaan, kuota kelulusan Lesen Teksi dan Kereta Sewa ditetapkan sebanyak 1,000 lesen bagi tahun 2022. Pihak APAD akan menganalisis semua permohonan yang diterima selepas tarikh tutup permohonan.

”Sekiranya jumlah permohonan yang layak dan menepati syarat yang ditetapkan melebihi kuota, maka pihak APAD akan mempertimbangkan kuota tambahan yang sewajarnya,” katanya.

Ka Siong menjelaskan, syarat permohonan kali ini juga berbeza yang mana APAD telah memansuhkan keperluan syarat pengalaman memandu teksi atau kereta sewa antara satu hingga tiga tahun yang termaktub di bawah Program Transformasi Industri Teksi (TITP) sebelum ini.

Namun syarat-syarat lain masih dikenakan bagi memastikan penyertaan pemohon adalah kekal berdaya saing dan berkualiti dalam usaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penumpang.

Jelasnya, pembukaan kepada umum permohonan Lesen Teksi dan Kereta Sewa juga dijangka membantu pemandu teksi sedia ada memiliki lesen sendiri dan mengatasi isu sewa pajak lesen yang dianggap tidak adil serta membebankan pemandu sebelum ini.

Dalam masa yang sama, pengumuman ini juga diharapkan dapat membuka peluang kepada pemain-pemain baharu terutamanya generasi muda untuk menceburi sektor pengangkutan awam sekali gus merancakkan lagi ekonomi negara.

”Pihak Kementerian menyeru kepada manamana pihak yang berminat dan berkelayakan untuk sama-sama mengambil peluang ini,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai syarat permohonan boleh didapati dan dimuat turun melalui laman portal rasmi APAD iaitu https://www.apad.gov.my. – MalaysiaGazette