Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan anggota Imigresen semasa mengadakan lawatan kerja selepas negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto AFFAN FAUZI, 15 APRIL 2022.

SEPANG – Ekonomi negara dijangka kembali rancak dalam tempoh beberapa bulan selepas sempadan antarabangsa sepenuhnya bermula 1 April yang lalu.

Jelas Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin,  sejak dua minggu lalu sehingga kini ekonomi negara masih belum rancak seperti yang dijangkakan kerajaan.

“Saya yakin, dalam tempoh beberapa bulan tahun ini dan beberapa bulan tahun ke hadapan,  ekonomi negara kita akan kembali lebih rancak lagi,” katanya ketika sidang media.

Terdahulu, Muhyiddin mengadakan lawatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Kumpur (KLIA), hari ini.

Beliau yakin kerajaan berada di landasan yang tepat untuk memulihkan ekonomi negara selepas pandemik Covid-19.

“Ini adalah satu permulaan yang baik kita yakin apabila sempadan negara kita telah dibuka ini bukan sahaja di Kuala Lumpur-Singapura juga di Selatan Semenanjung atau di utara sempadan Thailand dibuka sepenuhnya maka apa yang kita harapkan proses Pemulihan Ekonomi Negara lebih rancak, lebih cepat,” tambahnya.

Sementara itu, bekas perdana menteri itu menjangkakan sektor di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) paling lambat pulih selepas terjejas teruk akibat pandemik sejak dua tahun lalu.

“Tentang berapa peningkatan pelancongan saya nak minta taklimat dengan MOTAC nanti sebab mereka begitu teruk terkesan sebelum ini.

“Jangkaan kita proses pemulihan pelancongan akan ambil masa yang lama dua tiga tahun tidak tentu lagi ini sektor penting kerana setahun,” katanya lagi. – MalaysiaGazette