Armand Azha Abu Hanifah

KUALA LUMPUR – Keputusan yang dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi untuk mengekalkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini sebagai keputusan rasmi parti.

Ahli MKT UMNO, Senator Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, keputusan itu dicapai sebulat suara anggota MKT yang hadir bermesyuarat dan dengan semangat kekeluargaan UMNO dalam hala tuju parti ke arah PRU-15.

Kata beliau, keputusan itu seharusnya diterima oleh keluarga besar UMNO atas semangat pengukuhan, penyatuan, pendamaian, perpaduan dan kekuatan parti.

“Ini bukan lagi masanya untuk kita berbalah, berpecah, mempertikaikan antara satu sama lain, menebuk kapal dari dalam, mencipta persepsi negatif dalam kalangan kita.

“Yang pastinya kita harus mengenali musuh utama kita iaitu Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN), bukan sesama kita dalam keluarga UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Ini juga masanya kita bergerak sebagai satu pasukan dan terus mendekati rakyat terutama pengundi muda kali pertama sebelum menghadapi ujian peperangan utama kita, PRU-15,” katanya.

Dalam mesyuarat MKT semalam, parti sebulat suara menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri.

Mesyuara yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi rata-rata mahu Perdana Menteri kesembilan itu meneruskan tampuk pemerintahan selepas PRU-15 sekiranya BN menang.

Menurut Armand Azha yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang, dalam mesyuarat semalam, banyak agenda yang dibincang demi pengukuhan parti.

Kata beliau, setiap keputusan dibuat selepas mengambilkira pandangan, cadangan dan kritikan.

“Ini termasuk kedudukan Memorandum Persefahaman (MOU) antara kerajaan Persekutuan dan PH yang berakhir 31 Julai 2022, diputuskan tidak akan diteruskan lagi.

“Pembentangan Akta Anti Lompat Parti mesti diteruskan dan disokong untuk diluluskan tanpa berkompromi,” katanya. – MalaysiaGazette