Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang kasanova yang tidak serik menipu dan kebas wang orang untuk menyara hidupnya akhirnya dicekup polis.

Dalam jenayah terbaharunya, suspek disyaki menipu seorang kerani sebuah syarikat swasta melibatkan kerugian wang berjumlah RM152,500.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak berkata, suspek ditangkap polis di kawasan Lembah Klang.

“Suspek berusia 34 tahun itu merupakan seorang penganggur dan menyara kehidupannya hanya dengan menipu ramai orang termasuk wanita dan mengambil wang mereka.

“Semasa suspek ditahan, pemeriksaan lanjut polis turut membawa kepada rampasan tiga jenis telefon bimbit pelbagai jenama, wang tunai berjumlah RM18,000, sembilan keping jongkong emas pelbagai berat dan lapan keping dinar pelbagai berat dengan anggaran keseluruhan barang kemas bernilai RM30,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suspek kini direman selama empat hari untuk membantu siasatan dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Jelas Mahidisham, mangsa wanita berusia 39 tahun itu dipercayai telah berkenalan dengan suspek sejak 6 Februari lalu menerusi laman sosial.

“Semasa berkenalan, suspek berjanji akan berkahwin dengan mangsa dan meminta bantuan kewangan daripada mangsa untuk membayar hutang peribadi dan perbelanjaan perkahwinan mereka.

“Akibat percaya dengan kata-kata manis suspek, mangsa kemudiannya telah berjumpa dengan suspek di sebuah bilik hotel di ibu negara sebelum menyerahkan barang kemas miliknya bernilai RM30,000,” ujar beliau.

Dalam satu perjumpaan lain, suspek juga menunjukkan dokumen pembelian rumah sebagai bukti keikhlasannya kepada mangsa dan meminta bantuan mangsa untuk berkongsi pembayaran wang deposit untuk pembelian rumah tersebut.

“Mangsa yang terpedaya sekali lagi apabila menyerahkan wang tunai sebanyak RM122,500 kepada suspek secara berperingkat.

“Selepas itulah, mangsa mendapat tahu suspek sebenarnya pernah melakukan perkara yang sama terhadap beberapa mangsa lain di hotel yang sama sebelum mengadu kepada polis.

Susulan kejadian ini, beliau menasihatkan orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dalam menggunakan laman sosial dan dinasihatkan supaya membuat semakan latar belakang terlebih dahulu secara teliti sebelum memulakan komitmen percintaan dengan seseorang individu yang baru berkenalan.

Orang ramai untuk segera tampil membuat laporan polis sekiranya menjadi mangsa seumpama ini. – Malaysiagazette