Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin melihat teknologi 5G yang digunakan di dalam Ambulan untuk Doktor Pakar merawat pesakit pada majlis perlancaran '5G Ready Ambulance by YTL Communications Sdn Bhd and First Ambulance Sdn Bhd' di YTL Communication Data Centre, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengeluarkan arahan kepada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan supaya mempertingkatkan penguatkuasaan di bazar Ramadan yang ada aduan mengenai pencemaran makanan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata,  langkah itu penting untuk memastikan makanan yang dijual sentiasa berkualiti dan selamat untuk pengguna.

“Ya, saya telah meminta Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (KKM) untuk tingkatkan penguatkuasaan terutama di bazar-bazar Ramadan khususnya bazar yang terlibat dengan aduan pencemaran makanan.

“Saya juga telah meminta mereka mengeluarkan kenyataan nanti berkenaan kes-kes keracunan makanan.

“Tapi pada masa yang sama, saya meminta orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan makanan yang dijual di bazar Ramadan sebelum membeli untuk persiapan berbuka puasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir menyaksikan pelancaran Ambulans Pintar 5G yang pertama di Malaysia dan juga Perjanjian Persefahaman antara First Ambulans Sdn Bhd dan YTL Communications yang menyediakan kemudahan rangkaian itu di Pusat Data YTL di Jalan Ipoh di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy juga meminta supaya orang ramai sentiasa berwaspada dengan makanan yang dijual di bazar Ramadan.

“Jika mereka tidak yakin dengan tahap penyediaan makanan yang dijual di bazar, mereka boleh tengok bau dan rasa semasa berbuka puasa.

“Itu adalah satu langkah untuk memastikan bahawa makanan itu tidak tercemar dan terjamin selamat untuk dimakan.

“Saya juga telah meminta supaya para pengguna membuat aduan dengan segera sekiranya ada pencemaran makanan dikesan di bazar Ramadan,” katanya.

Berdasarkan aduan pantas membolehkan pihak berkuasa yang menjaga bazar Ramadan itu mengambil tindakan terhadap gerai yang menjual makanan tercemar dan juga pada masa yang sama KKM boleh turun melaksanakan penguatkuasaan mereka dengan pihak berkuasa tempatan.-MalaysiaGazette