Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menyiasat kesahihah aduan beberapa pihak berhubung kenaikan harga tambang penerbangan antara Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, berdasarkan pemantauan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), harga tambang penerbangan pada 30 April ini telah meningkat berbanding pada tahun 2019.

“Ini disebabkan peningkatan kos operasi terutama kenaikan harga bahan api jet serta sumber terhad bagi syarikat penerbangan meningkatkan kapasiti sepenuhnya.

“Mekanisme penetapan harga dinamik juga menggunakan Kecerdasan Buatan dalam proses menentukan harga tambang, bukan secara manual untuk menaikkan harga seperti yang didakwa.

“Namun, saya akan menyiasat kesahihan aduan yang telah dilaporkan ini,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin yang menyuarakan keluhan rakyat Sarawak dan Sabah untuk tindakan kementeriannya.

Pada masa sama, menurut Ka Siong, syarikat penerbangan juga menghadapi masalah untuk menambah kapasiti penerbangan dengan segera akibat pandemik Covid-19.

Jelas beliau, pesawat perlu melalui proses penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih sebelum diluluskan bagi tujuan perkhidmatan dengan selamat.

“Kita sedia maklum, syarikat penerbangan terpaksa menyimpan pesawat mereka ketika negara menguatkuasakan sekatan pergerakan.

“Setelah negara memasuki fasa peralihan ke endemik dan permintaan meningkat daripada pengguna, syarikat penerbangan akan memerlukan lebih banyak masa dan alat gantian untuk kesiapsiagaan pengoperasian semula,” katanya.

Katanya, bagi April ini, kekerapan penerbangan ke Sabah dan Sarawak masih rendah iaitu hanya pada tahap 68.0 peratus berbanding tahun 2019 iaitu ketika dalam prapandemik.

“Petang semalam, saya telah mempengerusikan mesyuarat khas melibatkan MOT, MAVCOM, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta syarikat penerbangan domestik bagi mencari penyelesaian terbaik dalam menangani masalah dan keluhan rakyat.

“Dalam mesyuarat itu, saya telah meminta MAVCOM dan syarikat penerbangan segera menjalankan siasatan secara terperinci serta menyeluruh mengenai isu kenaikan harga tambang penerbangan pada musim perayaan ini.

“Penetapan tambang penerbangan domestik oleh syarikat penerbangan negara adalah berdasarkan kepada rasionalisasi sektor perkhidmatan udara domestik pada tahun 2006,” katanya.

Dalam hal itu, kata Ka Siong, Jemaah Menteri pada ketika itu telah memutuskan bahawa syarikat penerbangan negara yang menyediakan perkhidmatan udara domestik diberikan kebebasan dalam menentukan liputan rangkaian, kekerapan penerbangan dan kadar tambang yang ditawarkan berdasarkan permintaan pasaran.

Ini selaras dengan amalan sebahagian besar negara lain yang tidak mengawal harga tambang penerbangan bagi laluan antarabangsa atau domestik.

“Walaupun harga siling dapat menurunkan tambang penerbangan pada musim puncak, namun akan menyebabkan kenaikan harga tambang penerbangan ketika musim biasa.

“MAVCOM, CAAM serta Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bersedia mempertimbang dan meluluskan permohonan syarikat penerbangan untuk menambah frekuensi penerbangan, pengoperasian perkhidmatan kawalan trafik udara serta melanjutkan waktu operasi lapangan terbang pada musim perayaan ini dan akan datang.

“CAAM telahpun meluluskan pelanjutan waktu pengoperasian perkhidmatan kawalan trafik udara di lapangan terbang yang diperlukan. Ini akan membantu syarikat penerbangan dalam perancangan penambahan kapasiti terutamanya menjelang musim perayaan,” ujar beliau.

Katanya, kementeriannya komited dan akan berusaha sedaya upaya untuk menurunkan tambang penerbangan bagi meringankan beban ditanggung rakyat.

MOT melalui MAVCOM akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai hasil perbincangan dengan semua syarikat penerbangan dalam tempoh terdekat. – MalaysiaGazette