Datuuk Seri Hazani Ghazali . Foto MUHD NA'IM, 11 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia telah berjaya membanteras sindiket penyeludupan kontraban, bunga api dan perombongan bitcoin dengan melakukan rampasan bernilaiĀ  RM10,123,838.40.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA)
Bukit Aman, DatukSeri Hazani Ghazali berkata, rampasan agak besar itu dilakukan oleh Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK), Pasukan Gerakan Khas (PGK) JKDNKA, Bukit Aman menerusi beberapa siri operasi bagi membanteras sindiket penyeludupan kontraban, bunga api dan perlombongan bitcoin yang dilaksanakan.

Katanya, dalam operasi khas yang dilaksanakan bermula 5 sehingga 15 April 2022, CPSK telah melancarkan sebanyak 13 serbuan di beberapa lokasi berasingan dengan membabitkan pecahan tiga kes Op Kontraban (rokok), satu kes op kontraban (mercun) dan sembilan kes di bawah Op Letrik bitcoin.

“Dalam serbuan pertama yang dilakukan pada 5 April lalu di bawah Op Kontraban, satu sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok di Kajang, Selangor telah berjaya ditumpaskan dengan tertangkapnya seorang lelaki dewasa warga tempatan.

“Pemeriksaan terhadap suspek tempatan itu berjaya membawa kepada rampasan sebanyak 1,079 karton rokok pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM318,634.40 serta sebuah kenderaan yang disyaki digunakan suspek untuk kegiatan jenayah itu.

“Susulan serbuan tersebut, CPSK telah melancarkan serbuan kedua di daerah sama sebelum berjaya merampas sebanyak 2,800 karton rokok berjenama pelbagai jenisĀ  dianggarkan bernilai RM1.1 juta dengan jumlah keseluruhan nilai kedua-dua rampasan berjumlah RM1.5 juta,” katanya dalam kenyataan kejayaan Ops Kontraban di Bukit Aman di sini.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Hazani turut memaklumkan pada 8 April lalu, juga di bawah Op Kontraban, serbuan ketiga telah dilakukan di Klang sebelum berjaya membawa kepada tangkapan seorang lelaki dewasa tempatan dan merampas 264 kotak mercun pelbagai jenis bernilai RM800,000 dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Serbuan keempat pula dilakukan pada 13 April lalu di bawah Op Kontraban, sebuah premis perindustrian telah dikesan menjalankan kegiatan pengilangan dan pembungkusan rokok yang tidak mendapat kelulusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Katanya, dalam operasi berkenaan, pasukan serbuan telah mencekup dua lelaki warga tempatan yang bertanggungjawab ke atas premis tersebut dan merampas sejumlah 15,600 karton rokok pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai keseluruhannya RM6.2 juta.

“Siasatan lanjut mendapati premis tersebut didapati telah menyalahgunakan kelulusan sedia ada dengan membuat pembungkusan dan pengedaran rokok tanpa kelulusan kastam dan kes sedang disiasat di bawah seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Meneruskan kejayaan risikan dan operasi selaras way forward, dalam membantu serta menguatkuasakan undang-undang bersama unit di dalam pdrm atau agensi-agensi lain, CPSK dan PGK dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah melancarkan operasi bersama di dalam membanteras kegiatan mencuri/membuat penyambungan tidak sah elektrik dalam melakukan kegiatan perlombongan bitcoin.

“Dalam operasi khas tersebut, sembilan buah premis telah diserbu dan hasil pemeriksaan di dalam berjaya merampas sejumlah 515 unit mesin perlombongan bitcoin yang dianggarkan bernilai RM1,581,000 juta.

“Malah dalam serbuan sama, polis berjaya menahan sembilan lelaki dewasa yang terdiri daripada tujuh warga tempatan dan dua warga asing serta operasi khas tersebut telah berjaya mengekang kerugian berjumlah 374,353.10 kilowatt jam sebulan membabitkan nilai RM190,545.70 sebulan kepada pihak TNB,”ujarnya.

Tegas Hazani, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 427/379 Kanun Keseksaan

Katanya, berdasarkan statistik keberhasilan bermula Januari sehingga 15 April 2022, CPSK PGK, JKDNKA telah berjaya melancarkan sebanyak 35 serbuan dan menahan seramai 51 orang dengan nilai rampasan keseluruhannya berjumlah RM38,621,064.56.-MalaysiaGazette