Tan Sri Annuar Musa (dua,kiri) menyampaikan data connectivity negeri Johor kepada pemimpin tempatan ketika hadir pada majlis berbuka puasa hari ini. Turut kelihatan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek (dua,kanan). --FotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

JOHOR BAHRU – Ketua Bahagian UMNO Ketereh Tan Sri Annuar Musa menyifatkan cadangan beliau agar Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diangkat sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang baharu hanyalah sebagai pandangan dan lontaran idea beliau.

Menurutnya cadangan itu dilontarkan susulan keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO mencalonkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri (PM) bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bercakap kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama komuniti Keluarga Malaysia di sebuah hotel di sini hari ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berharap perkara itu tidak menjadi isu polemik yang berpanjangan.

“Pada saya tidak perlu berpolemik yang panjang…itu hanya satu pandangan dan yang penting kita menyambut baik apa yang diputuskan oleh Majlis Tertinggi…itu sebagai satu langkah ke hadapan yang proaktif dan baik yang membolehkan Perdana Menteri itu sendiri memantapkan lagi kedudukan parti itu sendiri dan kerajaan.

“Itu (cadangan) hanya pandangan saya sebagai Ahli Parlimen dan juga ketua bahagian…sama ada ia (pandangan ) boleh dilaksanakan atau tidak boleh ia berbalik kepada keputusan Majlis Tertinggi…yang penting apabila parti telah buat keputusan, kita ahli ahli hendaklah patuh kepada parti,” katanya.

Semalam Annuar dilapor berkata sudah tiba masanya Ismail Sabri turut diberi amanah sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Pengarah Utama Jentera Pilihan Raya BN.

Sebagai calon Perdana Menteri juga, beliau berkata Ismail Sabri perlu diberi seluas-luas ruang untuk mencorakkan pentadbiran yang mampu membawa orde baharu politik negara yang lebih segar, bersih, berintegriti serta mampu memulihkan negara.- BERNAMA