Ismail Sabri Yaakob Aidilfitri aid financial assistance civil servants vaccination
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera Israel terhadap penduduk awam serta jemaah di Masjid Al-Aqsa yang berlaku Jumaat lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, serangan yang berlaku terhadap salah sebuah masjid paling suci bagi umat Islam dan dalam bulan Ramadan yang mulia menunjukkan keganasan berlanjutan dan dasar aparteid diamalkan oleh tentera penjajah Israel terhadap hak asasi, kehidupan, kesejahteraan serta maruah rakyat Palestin.

“Malaysia amat bimbang susulan peningkatan keganasan di Wilayah Palestin yang diduduki Israel.

“Mendasari hal ini, Malaysia meminta masyarakat antarabangsa memperbaharui tekad bagi mencari penyelesaian terhadap konflik Israel-Palestin yang berpanjangan ini.

“Kita juga akan terus bekerjasama rapat dengan masyarakat antarabangsa bagi mencari keamanan dan keadilan bagi rakyat Palestin selain kemakmuran di rantau Timur Tengah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri berkata, Malaysia juga menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dan perjuangan mereka bagi mendapatkan kemerdekaan daripada pendudukan haram Israel, merealisasikan aspirasi menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan pra-1967 dan Baitulmuqaddis sebagai ibu kotanya.

Semalam, tentera Israel menyerang Masjid Al-Aqsa susulan ketegangan terus memuncak di Baitulmaqdis.

Sehingga kini, tentera Israel mencederakan kira-kira 150 rakyat Palestin dan menahan ratusan orang selepas menyerbu perkarangan masjid itu pada Jumaat.

Rakyat Palestin mengadakan protes selepas serangan itu dan menyeru negara Islam melindungi Al-Aqsa.

Sebilangan ahli politik Pakistan turut mengecam tindakan Israel dan menyuarakan solidariti bersama rakyat Palestin. – MalaysiaGazette