KUALA LUMPUR – Penahanan seorang lelaki menunggang motosikal tanpa topi keledar dan lesen memandu kerana dalam keadaan agak mencurigakan berjaya membongkar kegiatan jenayah geng curi motosikal Honda Ex5 yang didalangi kumpulan warga asing.
Empat remaja warga asing berjaya diberkas polis bermula 15 April hingga 16 April lalu menerusi beberapa serbuan di ibu negara.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pada 15 April lalu jam lebih kurang 9.30 pagi,seorang pembantu seto, 33, membuat aduan motosikal Honda EX5 berwarna merah miliknya yang diparkir di tempat letak motosikal bersebelahan Hotel Boutique di Jalan Lanchang Taman Sri Bahtera, Cheras hilang.
“Bertindak atas laporan tersebut, pada hari kejadian jam 9.40 malam, saya dibantu oleh Konstabel Afif dan Haikal telah menahan seorang lelaki warga asing di Jalan Bukit Bintang, Off Jalan Imbi ibu negara sedang menunggang motosikal dalam keadaan tidak memakai topi keledar.
“Hasil pemeriksaan didapati penunggang motosikal tersebut tidak mempunyai lesen menunggang yang sah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pagi tadi.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut pasukannya terhadap motosikal Honda Ex5 berwarna merah yang ditunggangi suspek remaja itu rupanya kenderaan yang dilaporkan hilang disyaki dicuri suspek kira-kira sembilan jam lalu.
Rentetan penemuan itu, polis berjaya menahan remaja warga asing berusia 22 tahun dan merampas motosikal tersebut lalu dibawa ke Balai Polis Salak Selatan untuk tindakan lanjut.
Dalam soal siasat yang dijalankan, suspek membawa dan menunjukkan tempat motosikal itu disimpan selepas dicuri.
“Berpandukan hasil soal siasat dan dipandu arah oleh suspek pertama itu, Inspektor Muhammad Hafizuddin bersama anggota D4 IPD Cheras telah menahan dua lagi suspek lelaki warga asing.
“Kedua-dua suspek disyaki rakan senegara suspek pertama itu telah ditahan dalam serbuan di serbuah rumah pangsa di Taman Maluri Cheras pada Sabtu jam 12.30 pagi,” ujarnya.
Ujar beliau, kedua-dua individu itu berusia 14 dan 26 tahun dikenali sebagai Abbas Khan Daud Khan dan Nur Ali Amin dan pemeriksaan ke atas mereka berjaya merampas satu lagi motosikal EX5 berwarna ungu.
Selepas tangkapan kedua, polis melakukan serbuan kedua di Taman Lembah Maju, Ampang semalam, jam 2 pagi dan mencekup seorang lagi suspek lelaki remaja senegaranya bernama Mohammad Shahrul Rahmatullah, 15.
“Kesemua suspek mengaku terlibat dalam kecurian kedua-dua motosikal tersebut untuk komponennya yang akan dijual sebagai alat ganti di ibu negara serta untuk kegunaan sendiri.
“Polis telah membawa mereka ke IPD Cheras dan sedang meneruskan soal siasat ke atas mereka sebelum akan disambung semula memandangkan suspek kedua masih dalam keadaan khayal akibat menghisap gam selain ujian saringan air kencing tak dapat dijalankan memandangkan botol saringan kehabisan stok.
“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” ujarnya. MalaysiaGazette