Seorang lelaki warga China, (baju kuning berseluar jin) cuba memasuki sebuah Myvi sebagai tindakan melarikan diri selepas mengakibatkan kemalangan empat kenderaan di MRR2 awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga China yang melintas secara melulu sehingga mengakibatkan kemalangan empat kenderaan dan turut cuba memasuki sebuah kenderaan lain diberkas polis dalam kejadian yang berlaku jam 2.15 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, lelaki asing itu dipercayai melintas secara mengejut dekatĀ  sebelum mengundang kemalangan tersebut.

Kejadian itu berlaku di KM 35 MRR2 dari arah Bulatan Billion ke Pekan Sungai Besi berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Jalan Imbi.

Katanya, kemalangan itu membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora, kereta Toyota Vios dan dua motosikal masing-masing jenis Yamaha serta Kawasaki.

“Siasatan awal polis di tempat kejadian mendapati, seorang wanita berusia 44 tahun yang memandu kereta Proton Exora itu di lorong tengah telah menekan brek secara mengejut untuk mengelak seorang pejalan kaki yang melintas jalan secara melulu.

“Pada masa sama, satu lagi kereta yang dipandu lelaki berusia 30 tahun yang datang dari arah belakang sempat memberhentikan kenderaannya.

“Malangnya, tiba-tiba datang penunggang motosikal berusia 26 tahun yang tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kereta sebelum terbabas lalu melanggar di belakang MPV itu.

“Kemudian datang pula sebuah lagi motosikal ditunggang lelaki berusia 50 tahun juga tidak sempat mengelak sebelum melanggar motosikal Yamaha di lorong kanan dan terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat perlanggaran sesama kenderaan itu, kedua-dua penunggang motosikal terbabitĀ  mengalami kecederaan dengan salah seorang penunggang patah kaki kiri.

Kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Cheras, untuk rawatan selanjutnya sementara dua pemandu kenderaan dalam kemalangan itu terselamat tanpa sebarang kecederaan.

“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Sarifudin juga memaklumkan polis turut mengesan satu rakaman video tular berdurasi 23 saat di media sosial menunjukkan lelaki warga China itu cuba berpaut pada pintu belakang sebuah kereta Perodua Myvi yang kebetulan melalui kawasan kemalangan.

Lelaki warga asing itu kemudian telah dibawa anggota polis peronda ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras bagi tujuan dokumentasi kerana mengadu dia telah diancam oleh orang awam semasa berada di lokasi kemalangan itu.

Rentetan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan insiden berkenaan supaya segera menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette