Prof. Ir. Dr. Mohd Sapuan Salit bersama anugerah yang dimenanginya.

KUALA LUMPUR – Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Ir. Dr. Mohd Sapuan Salit menerima “SAE Subir Chowdhury Medal of Quality Leadership” daripada Society of Automotive Engineers International (SAE International) baru-baru ini.

Anugerah tersebut disampaikan semasa konferensi tahunan SAE WCX Experience di Detroit, Michigan, Amerika Syarikat pada 5-7 April 2022.

Pingat itu disampaikan oleh Presiden SAE International, Dr. Sri Srinath and Dr Subir Chowdhury sendiri, yang merupakan Pengerusi dan CEO, ASI Consulting Group, LLC, Michigan.

Penganugerahan SAE Subir Chowdhury Medal of Quality Leadership dianugerahkan kepada individu iaitu ahli akademik atau industri yang mempunyai kebolehan yang diiktiraf serta menyumbangkan kemahiran untuk mencapai matlamat untuk memajukan dan mempromosikan prinsip dan penerapan kualiti dalam profesion Kejuruteraan Mobiliti.

Mohd Sapuan adalah penerima pertama anugerah ini dari luar Amerika Syarikat.

Anugerah ini mengiktiraf sumbangan luar biasa beliau dalam bidang penyelidikan bahan komposit dan memberikan impak dalam industri kejuruteraan mobiliti.

Mohd Sapuan berkata beliau melahirkan kesyukuran atas penerimaan pingat tersebut. Penerima anugerah terdahulu terdiri daripada pakar dalam bidang automotif dari syarikat dan universiti terkemuka di Amerika Syarikat seperti General Motors, Dynax Corp., Caterpillar Inc., JD Power and Associates dan University of Maryland.

“Saya tidak menyangka akan mendapat pengiktirafan sebegini oleh pihak SAE International dan ini membuktikan bahawa kepakaran pensyarah UPM dan rakyat Malaysia diterima pada peringkat antarabangsa,” katanya.

Katanya, beliau berharap penerimaan pingat itu akan sedikit sebanyak membantu menaikkan imej UPM dan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Sebelum ini, beliau pernah menerima “Outstanding Technical Paper Award” pada tahun 2017 daripada Society of Automotive Engineers International Malaysia (SAE International Malaysia) dan merupakan Fellow SAE yang pertama dari Malaysia yang dilantik pada tahun 2015. – MalaysiaGazette