tidak sampai beberapa jam mengiklan judi haram dalam media sosial, sebuah premis haram yang bersembunyi di sebalik kedai runcit diserbu polis. Ihsan IPD Klang Utara

KUALA LUMPUR – Sebuah premis yang disyaki menawarkan aktiviti perjudian haram dengan berselindung di sebalik sebuah kedai runcit diserbu polis tidak sampai beberapa jam selepas memuat naik iklan berunsur perjudian di media sosial.

Sepasukan polis D7 daripada IPD Klang Utara telah menyerbu premis judi haram itu dalam operasi yang dijalankan di Kapar pada 1.30 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, polis telah mengesan iklan itu yang mempromosi judi jenis dalam talian dan perjudian jenis 4D.

“Hasil serbuan kami berjaya memberkas dua individu terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan berumur 36 tahun dan seorang lagi lelaki warga Indonesia berusia 28 tahun di dalam premis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Polis turut merampas pelbagai jenis barangan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian.

Antara barang perjudian yang dirampas adalah dua unit mesin pencetak, dua unit telefon yang digunakan untuk kegiatan perjudian loteri awam tanpa lesen, empat slip cetakan angka-angka disyaki perjudian dan enam buku baucar promosi iklan judi.

Semua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan kini disiasat di bawah Sek 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette