Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 18 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Kesahihan dua syarikat palsu iaitu Aabar Investments PJS Ltd (BVI) dan Aabar Investments PJS Ltd (Seychelles) yang dipercayai berkaitan dengan Low Taek Jho atau Jho Low tidak disiasat kerana tiada arahan dari Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Itu antara pengakuan oleh bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Azmi Tahir yang merupakan saksi ke-13 pada prosiding 1MDB hari ini.

Kata Azmi, dirinya tidak melakukan apa-apa inisiatif sendiri kerana alasan sedemikian malah mendakwa selama itu tidak ada sesiapa dalam 1MDB menyedari tentang isu alamat kedua-dua syarikat tersebut.

“Tidak ada sesiapa dalam kalangan CEO, COO atau saya yang timbulkan isu tentang syarikat itu selepas melihat semua dokumen berkaitan perjanjian usahasama itu.

“Selain itu, yang juga lihat dokumen adalah peguam, pegawai bank dan pegawai-pegawai lain dalam lebih 30- 40 orang tetapi tidak ada seorang pun yang menyedari tentang kesahihan syarikat itu,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Azmi berkata demikian ketika soal balas peguambela, Wan Azizudin Wan Mohamed berhubung syarikat Aabar Investments hari ini.

Untuk makluman, Aabar BVI dan Aabar Seychelles itu telah di palsukan oleh Jho Low yang kini dalam buruan bersama sekutunya dengan menggunakan syarikat Aabar yang sebenarnya sahih dan wujud di Abu Dhabi.

Prosiding 1MDB ketika ini sedang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukan memperoleh suapan sebanyak RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan menggubah wang haram dana syarikat pelaburan strategik itu.

Kata Azmi lagi, dirinya hanya maklum tentang syarikat palsu itu setelah sekian lama iaitu ketika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis terhadap penyewelengan itu.

Saksi itu juga mendakwa beliau ikut apa sahaja yang diminta oleh timbalannya, Terence Gen dengan alasan arahan-arahan itu datangnya dari Jho Low dan Najib.

Prosiding akan bersambung pada Rabu.

1MDB didakwa telah meminjam AS$975 juta dari Deutsche Bank dan daripada wang itu sebanyak AS$175 telah disalurkan ke Aabar BVI dan AS$681 juta ke akaun Aabar Seychelles. -MalaysiaGazette